• 09 Nov 2024 | 07 Jamadil Awal 1446

Kerusi PRN, Bincang Secara 'Adik-Beradik'

DUNGUN, 29 Januari - Hasrat Parti Pribumi BERSATU Malaysia Terengganu untuk bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu belum lagi diputuskan oleh PAS namun perkara berkenaan akan dibincangkan secara baik dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan diantara kedua-dua pihak boleh dilakukan secara aman dan saksama seperti 'adik beradik'.

"Kita akan duduk dan berbincang dululah bagaimana untuk menentukan mana dan dimana, munasabah atau tidak kerusi yang akan diberikan itu nanti, semua itu perlukan kepada perbincangan.

"Akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat pada perjumpaan yang belum ada tarikh lagi,"ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PAS, berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Perniagaan Secara Usahasama Antara Majlis Perbandaran Dungun dengan Syarikat Artha Global SDN BHD, di sini, semalam.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah Perikatan Nasional(PN) bersedia menerima ahli UMNO yang dibuang keahliannya serta digantung, katanya sebagai sebuah parti gabungan yang berdaftar pihaknya menerima sesiapa sahaja bekas ahli UMNO yang layak.

"Saya percaya kesemua yang dipecat atau digantung pada malam tadi, hari ini sedang berkira-kira untuk melakukan langkah seterusnya jadi kita tunggulah daripada mereka sendiri untuk membuat keputusan seterusnya.

"Apa-apa pun PN sebagai sebuah parti gabungan yang berdaftar dan sah di sisi undang-undang menerima sesiapa sahaja yang layak, setakat ini belum ada apa-apa perjumpaan dilakukan,"ujarnya.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. menjadi antara pemimpin UMNO yang dipecat keahliannya pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam,


Tag: