Khairunnisa' Dapat Timbalan Pengerusi Baharu


KUALA TERENGGANU, 23 Februari -  Persatuan isteri wakil rakyat dan isteri bekas wakil rakyat Terengganu (Khairunnisa') mendapat timbalan pengerusi baharu apabila mantan setiausahanya, Hajah Zarani Othman dilantik ke jawatan nombor dua persatuan itu.

Zarani ketika dihubungi berkata, apa sahaja jawatan yang diberi menjadi satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Jawatan adalah amanah perlu ditunaikan tanggungjawabnya, apatah lagi Khairunnisa' adalah persatuan yang menjadi tulang belakang kepada wakil rakyat yang menerajui Terengganu pada masa kini.

"Doakan semoga kami dapat melaksanakan amanah ini dengan (prestasi) paling cemerlang untuk membawa wanita Terengganu maju, berkat dan sejahtera,"  jelasnya.

Beliau yang juga isteri kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Persatuan Khairunnisa kali ke-17 di Pejabat Khairunnisa', belakang asrama Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA), Batu Buruk, di sini, kelmarin.

Menurut, Khairunnisa' ditubuhkan pada 1999 setelah PAS Terengganu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-10 dengan mesyuarat kali pertama di Seri Iman pada 25 Disember 1999.

"Khairunnisa' merupakan sebuah NGO (badan bukan kerajaaan) yang dianggotai oleh isteri wakil rakyat dan isteri bekas wakil rakyat PAS Terengganu.

"Persatuan ini ditubuhkan untuk memfokuskan hal ehwal kebajikan wanita Terengganu. Keahlian khairunnisa' adalah termasuk YB Senator wanita YB ADUN wanita yang dilantik dalam sidang DUN Terengganu," ujarnya.

Oleh itu, menurut Zarani, objektif penubuhan persatuan tersebut adalah untuk memupuk dan memperkukuhkan ukhwah Islamiyah di kalangan ahli Khairunnisa' dan juga masyarakat serta  memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam khususnya wanita.

"Misi pula ialah membangunkan kapasiti sebagai persatuan yang indipenden, profesional dan unggul dalam pelbagai aspek.

"Mengasah bakat berorganisasi dan meningkatkan kualiti, keimanan, keilmuan serta ketrampilan diri setiap ahli dan
menjuarai hal ehwal kebajikan Terengganu,"tambahnya.

Selain daripada itu visi Khairunnisa' adalah memastikan wanita Terengganu maju, berkat dan sejahtera

Dalam Mesyuarat agung Khairunnisa' pada Khamis lalu, pemilihan ahli jawatankuasa untuk sesi 2019- 2021 memutuskan pengerusinya, isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Timbalan Pengerusi 1, Zarani Othman, Timbalan Pengerusi 2, To’ Puan Hajah Fatimah Ibrahim dan Setiausaha Kehormat ialah Tuan Roslina Tuan Sulaiman.


Tag: