Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
Kuala Terengganu Juara Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022
KUALA TERENGGANU, 27 April - Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022 yang berakhir malam tadi.
Menonjolkan tema berhari raya di Kampung Tradisi dengan membawakan konsep pelita raya wau bulan dan wau burung gergasi, PDT Kuala Terengganu membawa pulang hadiah tunai bernilai RM5,000 di samping pingat kejuaraan.
Pertandingan anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) diadakan di Kampung Budaya Terengganu (KBT), Kompleks Muzium Negeri Terengganu bagi mengembalikan nostalgia tradisi memasang pelita pada malam tujuh likur.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pertandingan yang diadakan buat kali kedua di Kampung Budaya itu ternyata lebih meriah tahun ini dengan kehadiran ramai pengunjung.
"Semalam, empat ribu orang hadir dan dijangkakan malam ini sahaja mencapai lima ribu orang. Ini membuktikan sambutan yang diterima dalam acara ini sangat baik kali ini.
"Bagi pertandingan ini, Jabatan Pelancongan memperuntukkan RM3,000 dan saya yakin setiap daerah ada peruntukan sendiri. Berbanding tahun lepas, para peserta kali ini saya dapati jauh lebih kreatif dalam mempersembahkan pelita raya masing-masing.
"Saya mengikuti perkembangan program pelita raya ini dan berbanding dibuat di rumah seperti dahulu, di sini lebih meriah dan saya percaya Jabatan Pelancongan Negeri akan teruskan program ini di Kampung Budaya," katanya.
Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022 diadakan selama lima hari membabitkan penyertaan lapan daerah dari seluruh negeri Terengganu di mana mereka perlu menghiasi monumen seperti rumah-rumah tradisi, perahu besar dan Istana Tengku Long yang terdapat di KBT.
Pertandingan tersebut bukan sahaja dapat mengembalikan nostalgia malam tujuh likur yang lazimnya diamalkan penduduk dahulu kala, malah dapat mempromosikan KBT kepada masyarakat luar, terutama pelancong asing dalam menonjolkan elemen pelancongan budaya yang sinonim dengan Terengganu.