Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
KUALA TERENGGANU, 7 April - Terengganu FC memulakan aksi Liga Super Malaysia 2022 dengan kekalahan besar 0-3 kepada pasukan PJ City, semalam.
Terengganu FC memulakan aksi pertama musim ini selepas penangguhan dua perlawanan awal membabitkan perlawanan liga (vs Sri Pahang) dan Piala FA (NSFC) akibat kekangan Covid-19 dengan berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menentang skuad kendalian P. Maniam yang telah beraksi dua perlawanan sebelum ini.
Dalam perlawanan tersebut, anak-anak buah Nafuzi Zain nyata tidak berjaya mengimbangi jenteran serangan PJ City apabila dibolosi jaringan hatrik bekas penyerangnya, Darren Lok pada minit ke 13, 31 dan 38 perlawanan.
Gandingan penyerang import Terengganu, Kpah Sherman dan Kipre Tcheche masing-masing gagal mencipta jaringan buat pasukan gergasi pantai timur itu.
Pengendali Terengganu FC, Nafuzi mengakui, kekurangan perlawanan kompetitif menjadi punca utama aksi longlai pasukannya sekalipun dibarisi pemain import.
"Perlawanan pertama yang sukar, sebab sudah tiga bulan kita tiada perlawanan sedangkan pasukan lain sudah bermain. Malam ini baru saya melihat kemampuan pasukan bermain dalam perlawanan kompetitif.
"Memang banyak kelemahan, kalah 3-0 memang besar. Dari segi pertahanan, malam ini kita pakai pemain tempatan, jadi banyak benda yang tidak sepatutnya berlaku seperti kadang-kadang kesilapan mudah. Tetapi, masih ada masa untuk kita cuba meningkatkan prestasi dalam perlawanan seterusnya," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas perlawanan, semalam.
Jelasnya, perlawanan terbabit tidak boleh dijadikan penilain terhadap kemampuan pasukannya.
"Ini baru pertama kali (musim ini), jadi kita nampak apa yang perlu diperbaiki. Dari segi permainan, kita menguasai separuh masa kedua. Kita juga tukar beberapa cara bemain, cuba bagi semangat balik saya rasa.
"Pemain cuba bagi yang terbaik namun, selepas ketinggalan pemain mungkin tertekan untuk bangkit balik. Kita cuba mendapatkan sebiji gol untuk meningkatkan permainan balik tetapi PJ City bermain baik," katanya.
Mudah dijinakkan PJ City, Terengganu FC bakal 'berpeluh' lagi apabila bertandang ke Johor Bharu berdepan juara bertahan, Johor DT tiga hari lagi, sebelum beraksi menentang Sarawak United pada 17 April, juga di gelanggang lawan.