Lapan Kesalahan Dikesan dalam OPS Pantau 2025 di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Sebanyak lapan tindakan telah diambil sepanjang pelaksanaan OPS Pantau 2025 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu yang bermula sejak 2 Mac lalu.

OPS tersebut dijalankan sempena bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan harga dan timbang sukat yang ditetapkan.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, empat kes daripada jumlah tersebut dikesan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (AKHAP), manakala empat lagi di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Sebanyak 2,888 pemeriksaan telah dijalankan dalam tempoh 2 hingga 22 Mac, dengan 118 anggota dan 57 pegawai serta pegawai pemantau harga (PPH) turun padang.

"Kerahan melalui OPS ini bertujuan bagi memastikan pematuhan terhadap penetapan harga secara sepenuhnya oleh pihak peniaga.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas Majlis Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025 di Sabasun cawangan Dungun.

Menurut Mufsi, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan, khususnya melibatkan harga barangan kawalan dan ketepatan alat timbang dan sukat.

"Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000. 

"Selain itu, kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh menyebabkan individu didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun RM5,000, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau dikompaun RM10,000," tegas beliau.

Tambahnya lagi, pengguna digalakkan untuk menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya mendapati terdapat peniaga yang melanggar peraturan ini. Kami akan terus melakukan pemeriksaan bagi memastikan hak pengguna terpelihara.

Dalam pada itu, sempena bulan Ramadan ini, KPDN turut mengadakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di seluruh Terengganu dengan 211 siri jualan diadakan, melibatkan lebih 206,903 pengunjung. 

Katanya, program itu bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan, dengan hasil jualan melebihi RM8 juta sepanjang pelaksanaannya.

“Kami akan terus menganjurkan siri PJRM bagi membantu masyarakat mendapatkan barangan pada harga yang lebih rendah terutama menjelang perayaan Aidilfitri,” ujarnya.

OPS Pantau 2025 akan diteruskan sehingga Aidilfitri bagi memastikan harga dan bekalan barangan terkawal serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.