• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Lebih 19 Ribu Pelajar IPT Berdaftar SSM Di Seluruh Negara

HULU TERENGGANU, 16 November - Seramai 19,758 pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi sepenuh masa mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956  sejak Januari 2021 hingga 31 Oktober lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata jumlah itu merupakan sebahagian dari 43,123 perniagaan yang berjaya didaftarkan secara percuma melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) diseluruh negara.

Katanya, jumlah tersebut turut merangkumi 23,365 usahawan B40. 

"Langkah SSM melaksanakan SPPP ini dapat mengurangkan jumlah perniagaan tidak berdaftar terutama di kalangan usahawan muda dan baru khususnya selepas negara terkesan dengan pandemik COVID-19.

"Disebabkan terlalu ramai
mahasiwa yang keluar daripada IPT, maka persaingan agak sengit untuk mengisi tempat dan kekosongan pekerjaan yang ada, maka mahasiwa perlu melengkapkan dengan kemahiran yang ditawarkan oleh kerajaan atau mana-mana institusi
supaya ia dapat menjamin kerjaya yang lebih cerah sekali gus menggelakkan penggangguran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Usahawan Muda 2022 (PUM22) Peringkat Negeri Terengganu & Kelantan di Dewan Akademi Binaan Jenagor, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) KPDNHEP,  Datin Roszanina Wahab.

Lebih 1,400 penyertaan yang terdiri daripada pelajar-pelajar institusi-institusi termasuk para peserta dari negeri Kelantan mengikuti program pada hari ini secara atas talian. 

Menurut Rosol, mereka yang hadir didedahkan dengan kaedah mendaftarkan perniagaan, faedah-faedah memiliki entiti perniagaan yang sah, membangunkan strategi, 
kesedaran dan perlindungan hak-hak pengguna agar peserta lebih peka dan prihatin tentang isu-isu kepenggunaan yang wujud di negara ini. 

Sementara itu, sehingga kini terdapat 72,737 perniagaan, 5,934 syarikat dan 443 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) aktif telah berdaftar dengan SSM sehingga 31 Oktober 2022 di Terengganu.