KUALA NERUS, 24 Julai – Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyerahkan wakalah majikan bernilai RM302,955.85 untuk bayaran zakat kepada 19 institusi pendidikan di empat daerah di Terengganu bagi tahun 2023.
Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan) Zakat MAIDAM, Nazli Amirri Ngah berkata, empat daerah tersebut adalah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu.
“Ia bertujuan untuk membantu pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf fakir dan miskin di sekolah serta universiti untuk mendapatkan bantuan dari segi kewangan selain keperluan asas lain.
"Wakalah Majikan ini juga sebagai galakan kepada guru-guru untuk membuat Potongan Zakat Berjadual dengan MAIDAM dan semakin ramai guru yang membuat potongan gaji, semakin ramai pelajar asnaf yang dapat dibantu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pendidik Cakna MAIDAM di Dewan Utama Ar Riyadh Residence di sini semalam.
Katanya, program tersebut turut dihadiri lebih 400 guru dari Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu.
“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Fikri menerima Anugerah Amaun tertinggi Potongan Zakat Berjadual pada tahun 2023 iaitu sebanyak RM114341.20.
“Selain itu, katanya Anugerah Bilangan Pembayar Tertinggi Potongan Zakat Berjadual tahun 2023 dimenangi SMK Haji Abdul Rahman Limbong melibatkan seramai 52 individu,” ujarnya.