• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

MB Terengganu Baharu Mulakan Tugas Rasmi


Menteri Besar Terengganu yang baharu, Dr Samsuri memulakan tugas rasmi di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Menteri Besar  Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memulakan tugas secara rasmi pada hari ini pada jam 8.50 pagi di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Beliau yang mengenakan sut kelabu kelihatan tenang memasuki ruang pejabat di Tingkat 16 dengan diiringi 10 barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Turut mengiringi beliau, pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya.

Dr Samsuri kemudiannya menyertai pegawai dan kakitangan menunaikan solat hajat berjemaah di Dewan Besar, Wisma Darul Iman diikuti dengan ucapan ringkas  sebaik selesai solat dan kemudiannya menyertai sidang media sebelum ke jamuan pagi di tingkat U2.



Sebaik selesai jamuan pagi, Menteri Besar diiringi ke sesi pembentangan di Bilik Gerakan Tingkat 17.

Sebelum itu, dalam ucapan ringkas beliau, Dr Samsuri berkata, prinsip dan dasaranya ialah menjadikan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, ilmu, akhlak dan inovasi sebagai asas membina pelan induk negeri ke arah yang cemerlang serta menjadi contoh negeri yang `maju, berkat dan sejahtera’.



“Marilah kita memahami panduan Allah sebagaimana yang diimankan olehNya di awal Surah al-Baqarah. (membaca Surah al-Baqarah dan maksudnya). Matlamat kita adalah besar, membawa agenda Pelan Induk Terengganu Sejahtera yang bermatlamatkan; Maju, (pertama), pembangunan infrastruktur dan ekonomi yang menyelesaikan masalahan rakyat; (kedua) pembangunan modal insan berteraskan kepada prinsip Islam yang melahirkan masyarakat yang intelek dan berdaya saing serta ketiga, kelestarian pembangunan (ekonomi, masyarakat dan alam sekitar) berasaskan prinsip Islam.

Manakala kedua, Berkat; (pertama) prinsip Islam dijadikan asas dalam pentadbiran, ekonomi yang bebas riba, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa serta (kedua) penghayatan takwa menjadi asas terpenting dalam pentadbiran dan pembangunan masyarakat.

Ketiga, Sejahtera; Negeri yang menekankan keselamatan, berkebajikan dan kemakmuran, iaitu pertama, konsep keselamatan adalah meminimakan kebimbangan ancaman jenayah, masalah sosial dan kesan bencana kepada rakyat; konsep berkebajikan adalah menggabungjalinkan peranan dan sumbangan kerajaan, badan korporat dan rakyat untuk membangunkan negeri dan konsep kemakmuran adalah perkongsian pembangunan dan hasil negeri yang dinikmati oleh semua masyarakat,”katanya.

Beliau berkata, dalam bahasa yang paling ringkas dan mudah, pentadbiran negeri mempunyai sasaran untuk menjadikan Negeri Terengganu yang dicintai ini sebagai Terengganu Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa, Hab Pendidikan Islam Antarabangsa dan Hab Industri Produk dan Makanan Laut Serantau.



Selain itu, sasaran kerajaan juga menjadikan Terengganu sebagai Hab Industri Batik Dunia, Hab Industri Pembangunan dan Pembaikpulih Kapal Negara, Hab Pembangunan Sumber Manusia bagi Industri Minyak dan gas, Hab Industri Galian Negara, Hab Industri Pembekalan Air, Pembangunan Bersepadu dengan Jaringan LPT2, ECER, ECRL dan lain-lainnya serta pemerkasaan pertanian dan asas tani menerusi  Rantaian Nilai Lengkap (Complete Value Chains).

“Akhirnya, saya ingin mengajak semua pihak untuk berganding bahu membina dan pembangunan Negeri Terengganu, di mana peranan pembuat dasar, enjin pelaksana strategi, pimpinan pentadbiran kerajaan Negeri, seluruh jentera kerajaan dan rakyat, adalah sama penting serta mempunyai peranan masing-masing.

"Bekerjalah bersama kami, bukan bekerja untuk kami. Semoga setiap antara kita diberi panduan oleh Allah SWT dan dipermudah olehNya,”katanya.






Tag: