Hujan Lebat Berterusan Tahap Bahaya di Terengganu, Pahang Hingga Jumaat Ini
KUALA TERENGGANU, 10 November - Program berbentuk kekeluargaan di peringkat akar umbi sangat penting dalam memastikan mesej dan manfaat dapat sampai terus kepada masyarakat setempat, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman atau komuniti kecil.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata, program seumpama itu penting untuk diadakan bagi menyebarkan pengetahuan dan kesedaran secara langsung kepada golongan sasaran yang tidak berpeluang hadir ke acara di peringkat negeri.
"Macam saya sebut di peringkat kampung terutamanya di taman perumahan, surau atau masjid, kita menekankan tentang keluarga bahagia ini dan bagaimana kita nak menjaga keluarga kita.
"Pelbagaikan ataupun kita banyakkan tempat berprogram tempat di surau, masjid, khutbah Jumaat supaya mesej ini sampai kepada semua pihak termasuk kaum lelaki, kerana mereka perlu ada ilmu untuk menjaga institusi kekekuargaan masing-masing," jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Ladang berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas perasmian penutup forum Keluarga Bahagia Idaman Kita, di Pusat Tafaqquh Fi Al-Din, Tok Sheikh Duyong baru-baru ini.
Menurutnya, Forum ‘Keluarga Bahagia Idaman Kita’ anjuran kerajaan negeri mendapat sambutan dengan kehadiran lebih 300 peserta.
Tambah beliau, program itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya wanita dan kaum lelaki, mengenai pentingnya ilmu dan tanggungjawab dalam membina institusi keluarga bahagia dan harmoni.
"Program seperti ini perlu dibuat secara kerap untuk memberi peringatan ataupun memberi tazkirah kepada wanita khususnya macam mana untuk mengejar ataupun nak mencapai keluarga bahagia itu.
"Tak semua orang yang melalui jalan yang mudah, ada yang terpaksa melalui jalan yang sukar untuk mencapai keluarga bahagia itu.
"Keluarga bahagia bermula daripada emak ayah dengan bimbingan keluarga tapi keadaan liku liku kehidupan tu menyebabkan mereka gagal untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu seorang ayah," ujarnya.
Sementara itu, tambahnya, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, ramai ibu bapa terbeban sehingga terpaksa mencari pendapatan tambahan dan meninggalkan anak-anak tanpa pengawasan yang mencukupi.
Justeru itu, beliau berharap agar inisiatif itu dapat diperluaskan pada masa hadapan dengan melibatkan pasangan suami isteri dan anak-anak.