KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri yang mempertemukan pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesepakatan dalam merancang dan melaksanakan pembangunan negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihak Kerajaan Negeri memerlukan mesyuarat penyelarasan seperti itu menjadi ruang perbincangan antara pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
"Dalam mesyuarat terdahulu yang diadakan, saya ada mencadangkan agar Akta Penyerahan Duti Eksport Biji Mineral 1964 dalam Perlembagaan Persekutuan dikaji semula dan dinilai bagi meningkatkan peratusan hasil negeri.
"Peningkatan ini penting bagi memastikan negeri memperoleh manfaat yang lebih besar berdasarkan sumber asli yang dimiliki.
"Kami di Terengganu Darul Iman ini juga menaruh harapan yang sangat tinggi agar peruntukan pertanian dan keterjaminan makanan, projek tebatan banjir dan kawalan hakisan pantai serta kerja-kerja berkaitan industri pelancongan bagi menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Berbuka Puasa Madani Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Masjid Sultan Ahmad, Kemaman.
Dalam sektor ekonomi dan industri pula, Dr. Ahmad Samsuri menegaskan perlunya langkah memperkasakan kawasan industri sedia ada, di samping membangunkan industri yang berpotensi besar untuk diusahakan di negeri itu.
"Dalam sektor ekonomi dan industri, kita memerlukan langkah bagi memperkasakan kawasan industri minyak dan gas (Oil and Gas).
"Dalam masa yang sama, membangunkan industri lain seperti farmaseutikal, pemberdayaan pelabuhan serta peranan negeri dalam teknologi Carbon Capture Utilisation and Storage (CCUS) dan projek hidrogen hijau (Green Hydrogen Project)," ujarnya.
Beliau berharap agar semua cadangan ini dipertimbangkan dan diberi keutamaan oleh Kerajaan Pusat bagi memastikan pembangunan yang lebih mampan dan inklusif di Terengganu.
Dr. Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan atas beberapa keputusan penting yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara, yang melibatkan Menteri-Menteri Besar, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
"Antara keputusan utama yang diumumkan adalah peningkatan sebanyak 25 peratus kadar pemberian mengikut bilangan penduduk yang akan mula dilaksanakan pada tahun 2026," tambah beliau.
Selain itu, beliau juga menyambut baik beberapa kelonggaran yang diberikan dalam perbelanjaan di bawah program 'Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation' (BFT), yang akan membolehkan negeri menggunakan dana secara lebih fleksibel dalam usaha pemeliharaan biodiversiti.