Nafuzi Komited Kemudi Terengganu FC

KUALA NERUS, 6 Februari - Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain mahu terus komited dengan tugasnya mengendalikan pasukan tersebut biarpun terdapat ura-ura namanya antara yang tercalon sebagai penolong jurulatih kepada Kim Pan Gon bagi mengemudi skuad kebangsaan.

"Setakat ini tiada lagi tawaran rasmi dan saya sendiri tidak pernah memikirkan nama saya menjadi isu (calon penolong jurulatih).

"Kalau betul, itu merupakan satu penghargaan kepada saya tercalon untuk jawatan itu. Namun, minat tidak boleh cakap kerana kini komitmen saya hanya pda Terengganu FC," katanya kepada pemberita selepas aksi pertama pra-musim dalam Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu 2022, semalam.

Jelasnya, sekiranya ada tawaran rasmi dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), barulah perkara itu akan difikirkan.

"Buat masa ini, Terengganu FC dan pemain-pemain saya lebih penting," katanya.

Dalam pada itu, pada aksi pertama menentang Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) semalam, kedua-dua pasukan terikat 1-1 dengan jaringan dihasilkan oleh Kpah Sherman dan Muhammad Danial Ashraf Abdullah.

Sekalipun seri, Nafuzi berpuas hati dengan persembahan pasukan kendaliannya.

"Malam ini bagi saya perlawanan pertama bertemu Penang FC ini agak kompetetif. Saya berpuas hati walaupun keputusan seri, tetapi objektif yang kita mahukan, tercapai.

"Kalau kita tengok kombinasi pemain agak baru dan ini ruang melihat, menilai dan mencari persefahaman. Banyak aspek yang saya dapat lihat dan ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki.

Mengenai Pape Diakite dan Luke Woodland di barisan pertahanan pula, jelasnya gandingan tersebut masih baru.

"Kita masih ada masa untuk membina gandingan mantap dan bagi malam ini, masih terlalu awal untuk kita menilai," katanya.

 


Tag: