Nisan Kerek Batangan Tersohor

Nisan kerek Manis Sokmo Enterprise yang dihasilkan di Kampung Batangan, Marang. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.
Usaha tanpa mengenal erti putus asa. Itulah resepi utama kejayaan pengusaha manisan kampung atau nisan kerek Manis Sokmo Enterprise, Suri Abdul Ghani dari Kampung Batangan, Marang.
Perusahaannya yang bermula sejak 2004 itu secara kecil-kecilan sebelum berkembang maju dan dikenali di serata negeri berkat sokongan dan usaha bersama keluarga.

Suri
Suri berkata, bantuan dan inisiatif yang disediakan kerajaan banyak membantunya untuk mengembangkan perusahaan produk makanan itu.


“Saya bermula dengan bangsal kecil pada 2004. Namun selepas saya menyertai Amanah Ikhtiar Malaysia, banyak ilmu yang saya perolehi terutama untuk menjadi seorang usahawan berjaya.

“Dari situlah saya tahu cara untuk membesarkan perniagaan. Kursus-kursus yang dianjurkan banyak mengajar saya untuk mencari bahan mentah, membuat pembungkusan, mencari pasaran luar dan banyak lagi,” katanya kepada Teganukita.

Tambahnya, diawal penglibatannya dalam perusahaan manisan itu, beliau turut memohon bantuan perniagaan daripada Jabatan Pertanian Malaysia.

“Pada masa itu, kebetulan Jabatan Pertanian ada menyediakan peruntukan kepada usahawan. Berkat kesungguhan, saya dapat peruntukan tersebut dan digunakan untuk membaiki bengkel serta membeli mesin bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti manisan kampung ini,” katanya.




Menceritakan pengalamannya, Suri berkata produknya kini mulai dikenali apabila boleh didapati di pasaraya-pasaraya besar sekitar Terengganu.

Selain nisan kerek, produk keluarannya yang lain adalah manisan ori, dodol daun palas dan gula-gula kelapa.

Suri berkata, pada awalnya produk-produknya hanya dibekalkan di pasar sekitar Marang sahaja namun apabila permintaan makin meningkat, ia mula memasuki pasaraya-pasaraya.

“Sekarang ini produk-produk saya boleh didapati di Pasaraya Mydin, Sabasun, Nirwana, Tunas Manja, Hock Kee Seng, Tree Leaf dan sebagainya disebabkan saya dah dapat apa yang dikehendaki untuk masuk ke dalam pasaran,” katanya.
 


Dalam pada itu, Suri berkata, dia
 turut menghasilkan nisan kerek asli yang diperbuat daripada 100 peratus air nira.

“Untuk nisan kerek, kita ada empat kategori. Pertama 100 peratus asli, kedua kita ada ori iaitu campuran air gula 10 peratus, ketiga (50 peratus gula) dan yang paling murah dan senang didapati adalah 90 peratus gula.

“Yang paling istimewa adalah asli 100 peratus kerana ianya sukar diperolehi di mana-mana tempat. Kebiasaannya, ianya dibuat berdasarkan tempahan sahaja dan kita buat dalam kuantiti sedikit kerana harganya lebih mahal,” katanya

Tag: