• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

Pasangan Terengganu Berjuang Pertahan Rumah Tangga di Tengah Krisis Ekonomi

KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi, pasangan di Terengganu menunjukkan keteguhan dan kesetiaan dalam usaha mereka mempertahankan rumah tangga masing-masing.

Ketua Penolong Pesuruhjaya (KPP) Bahagian Undang-Undang Keluarga, Moktar Salleh berkata hal tersebut terbukti daripada jumlah pasangan yang datang untuk mendapatkan bantuan khidmat nasihat di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), menunjukkan komitmen mereka dalam mencari penyelesaian dan sokongan.

Menurutnya, ramai pasangan datang menceritakan masalah sama, dengan kebanyakan aduan berkisar tentang tekanan kewangan yang semakin membebankan mereka.

“Kami mendapati bahawa isu kewangan adalah faktor dominan yang menyumbang kepada ketegangan dalam rumah tangga.

“Banyak pasangan yang terpaksa berdepan dengan masalah seperti kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan, peningkatan kos sara hidup dan ada juga kes pengurusan kewangan tidak betul,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman di pejabatnya baru-baru ini.

Turut hadir, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKP) Khidmat Nasihat Bahagian Undang-Undang Keluarga, Hasyimah Zakaria.

Moktar menambah bahawa Bahagian Undang-Undang Keluarga kini berusaha lebih untuk membantu pasangan yang menghadapi krisis tersebut.

“Kami menyediakan pelbagai bentuk sokongan, termasuk nasihat dari segi perundangan islam dan bimbingan tentang pengurusan kewangan.

“Kami juga berusaha untuk mengadakan sesi khidmat kaunseling bagi membantu pasangan mengatasi masalah mereka dan mencari penyelesaian yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata khidmat bimbingan kaunseling yang diadakan memberi peluang kepada pasangan untuk berbincang secara terbuka mengenai masalah yang dihadapi.

“Sesi-sesi ini bukan sahaja memberi panduan praktikal tetapi juga memberikan sokongan emosi yang penting, di samping membantu pasangan membina semula kepercayaan dan komunikasi dalam hubungan mereka.

"Kami percaya bahawa dengan pendekatan yang menyeluruh, pasangan akan lebih mampu menghadapi cabaran yang mendatang dan mengekalkan keharmonian rumah tangga mereka walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu," ujarnya.

Moktar berharap dengan usaha yang berterusan, dapat membantu pasangan-pasangan untuk kekal bersama di tengah-tengah cabaran ekonomi yang sukar itu.


Tag: