Pasar Payang 1 Dibuka, Pengunjung Boleh Membeli

KUALA TERENGGANU, 1 Ogos – Pasar Kedai Payang 1 secara rasmi dibuka hari ini, membolehkan pengunjung mula membeli pelbagai barangan serta perkhidmatan yang disediakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan, dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dalam lawatan tidak rasmi pasar kedai payang hari ini menunjukkan bahawa kira-kira 10 hingga 15 peratus daripada keseluruhan 110 peniaga telah memulakan operasi mereka.

“Hari ini menyaksikan dua segmen sudah beroperasi, iaitu kedai barang kemas dan cenderamata. Untuk segmen lain seperti kedai pakaian, kami sasarkan mereka akan mula beroperasi dalam tempoh sebulan hingga sebulan setengah lagi. Kami yakin kedai pakaian akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 September.

“Walaupun tidak semua peniaga barang kemas dan cenderamata memulakan operasi, kira-kira lima hingga enam kedai telah dibuka. Kedai-kedai lain masih dalam proses pengubahsuaian dan dijangka siap dalam masa terdekat," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan tidak rasmi pembukaan Pasar Payang 1 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif.

Wan Sukairi berkata jumlah pemohon untuk menyewa kedai di Pasar Payang menunjukkan sambutan yang sangat baik, dengan hampir 1,000 permohonan diterima

"Isu berkaitan kadar sewa yang timbul di kalangan pemohon dianggap tidak besar, kerana kadar sewa yang ditetapkan adalah berpatutan berdasarkan lokasi dan jumlah pengunjung yang diunjurkan. 

"Proses pengubahsuaian untuk Pasar Payang 2 akan dimulakan selepas pemindahan peniaga dari Pasar Payang 1 selesai," ujarnya.

Jelasnya lagi, kerja-kerja renovasi akan dilaksanakan oleh pihak pengurusan, manakala peniaga akan menyiapkan pengubahsuaian mengikut keperluan mereka sendiri.

 

 


Tag: