Pelita Kekabu Curi Perhatian di Pelita Raya 2025

KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Acara Pelita Raya 2025 (Peliter @ KSNT) yang berlangsung di Terengganu baru-baru ini menyaksikan pelbagai jenis pelita tradisional dipamerkan oleh agensi-agensi yang terlibat. 

Antara yang mencuri perhatian ramai adalah pelita kekabu, yang diperkenalkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Besut (PDT Besut).

Kakitangan PDT Besut dan wakil kepada reruai bagi pelita kekabu, Mazalin Mohd Lazim berkata, pelita tradisional itu dipilih sebagai bahan pameran mereka kerana keunikan serta nilai sejarahnya.
 
"Kami mahu memperkenalkan alat klasik yang pernah digunakan oleh generasi terdahulu kepada generasi muda. Ramai pengunjung yang datang ke booth kami tidak pernah melihat pelita kekabu sebelum ini.
 
"Zaman dahulu, hampir 90 atau 100 tahun sebelum merdeka lagi pelita kekabu ini sudah ada. Tapi bila dah masuk merdeka, zaman pun dah semakin moden, ia sudah tidak ada kegunaan pada zaman itu," jelasnya.

Namun, dengan adanya program seperti ini pihaknya dapat memberi pendedahan untuk inovasi klasik itu kepada orang awam, terutamanya golongan muda.

Beliau menambah bahawa usaha memperkenalkan pelita kekabu mendapat sambutan yang luar biasa daripada pengunjung. Setiap malam, reruai mereka menggunakan kira-kira tiga guni buah kekabu.

Tambahnya, sepanjang empat malam acara berlangsung, sejumlah 12 guni kekabu telah diagihkan secara percuma kepada para pengunjung. Setiap guni dianggarkan mengandungi antara 160 sehingga 170 biji buah kekabu.

"Kami bukan mahu berniaga, tetapi kami lebih cenderung untuk mendidik. Jika kami menjual pelita kekabu, mungkin orang ramai kurang berminat untuk datang melihat. 

"Tujuan utama kami adalah memberi pendedahan kepada orang ramai, bukan cari keuntungan," jelasnya ketika sesi demonstrasi cara menghasilkan pelita kekabu.

Demonstrasi tersebut turut memberikan pengalaman interaktif kepada pengunjung, di mana mereka dapat melihat sendiri bagaimana pelita kekabu dihasilkan menggunakan buah kekabu, minyak sebagai bahan bakar, dan teknik tradisional yang digunakan oleh masyarakat dahulu.

Dengan sambutan positif daripada orang ramai, inisiatif Pejabat Daerah dan Tanah Besut ini berjaya mengangkat kembali warisan tradisional serta memberi pengalaman baharu kepada generasi muda mengenai penggunaan alat pencahayaan klasik yang hampir dilupakan.


Tag: