Kerajaan Terengganu Sembang Kosong?

BESUT, 30 Oktober – Para penerima geran tanah hak milik kekal generasi kedua Felda Selasih di sini menzahirkan rasa syukur apabila kerajaan Terengganu melunaskan janji dan tidak 'sembang kosong' sebagaimana kerajaan terdahulu.

Anak felda, Mohd Khairani Wan Jusoh menyifatkan, hasrat generasi kedua untuk memiliki tanah sendiri akhirnya dinokhtahkan kerajaan hari ini dan ia bukan suatu janji palsu seperti sebelum ini.

“Sudah lama menunggu untuk menerima tanah ini. Sebelum ini isi borang, simpan sahaja kemudian senyap.

“Alhamdulillah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim bersusah payah untuk dapatkan tanah ini. Terima kasih kepada Yang Berhormat (YB) dan juga kerajaan negeri Terengganu termasuklah penghulu. Terhutang budi dengan mereka,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui media sebaik menerima geran hak milik tersebut yang disempurnakan Dr Azman di Felda Selasih baru-baru ini.

Sementara itu, Nurul Ain Che Ali yang mewakili adiknya untuk menerima pemberian itu sebak setelah permohonan sejak 2019 akhirnya menjadi kenyataan.

“Dari kecil saya duduk (tinggal) di sini, Felda Selasih. Perasaan saya terharu sebab bilangan adik-beradik kami ramai.

“Terima kasih kepada YB beri kami tanah, kalau ingin beli mungkin tidak mampu sebab adik-beradik dalam 10 orang,” katanya.

Bagi, Mohd Hanafi Abdul Aziz, 31, dia melahirkan perasaan gembira apabila hasrat beliau membina kehidupan bersama keluarga di kampung asalnya tercapai.

“Buat masa sekarang saya menyewa di luar Felda Selasih, iaitu di sekitar Jabi. Memang perancangan keluarga untuk membina rumah di sini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Azman beri peluang kepada Felda Selasih mendapatkan tanah generasi kedua serta ‘Abe Lan’ selaku ketua kampung dalam membantu mendapatkan geran,” ujarnya.

Dalam majlis berkenaan, seramai 189 penerima menerima geran hak milik kekal perumahan dan pertanian.

Dr Azman menjelaskan wakil rakyat PAS akan terus konsisten memberikan sepenuh khidmat buat rakyat walaupun sesetengah inisiatif tidak termasuk dalam janji manifesto atas dasar melaksanakan amanah kepada masyarakat setempat.

Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang terlibat merupakan RTB generasi kedua Felda Selasih, Pasir Tawar, Anak Ikan, Belimbing Api, Bukit Tasik dan Seri Wangi.


Tag: