• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Pengiktirafan IDEAS Bukti Terengganu Telus Urus Duit Rakyat

KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Kejayaan Terengganu menerima pengiktirafan sebagai negeri paling telus dalam pengurusan Belanjawan daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) membuktikan komitmen negeri dalam menjaga harta rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa ketelusan belanjawan yang diukur melalui Malaysia Open Budget Index (MYOBI) 2024 merupakan kunci utama dalam memajukan negeri.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut bukan sahaja menunjukkan komitmen kerajaan negeri terhadap tatakelola kewangan yang baik tetapi juga memberi impak positif terhadap pembangunan ekonomi Terengganu.

“Ketelusan belanjawan adalah asas kepada kepercayaan rakyat dan pelabur, dan ia memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan ekonomi yang mampan dan berterusan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Ahmad Samsuri berkata pencapaian itu adalah hasil daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk menyediakan maklumat belanjawan yang terperinci.

Di samping itu katanya, ia memperkuatkan mekanisme semak imbang, dan menyediakan saluran untuk rakyat memberi maklum balas.

Beliau juga menekankan bahawa pengurusan kewangan yang telus membantu mengelakkan ketirisan dan memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan sebaiknya.

Ahmad Samsuri mengucapkan terima kasih kepada IDEAS atas pelancaran MYOBI kali kedua itu dan berharap dapat menjadi penanda aras kebangsaan bagi ketelusan belanjawan.

“Adalah amat penting untuk semua kerajaan negeri menunjukkan komitmen tinggi terhadap ketelusan belanjawan dan memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan sebaiknya," ujarnya.

Beliau berharap, pengiktirafan itu akan terus mendorong kerajaan negeri Terengganu untuk mengekalkan dan meningkatkan tahap ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan negeri.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: