Oleh : Izzat Izri
KUALA NERUS, 21 Januari - Bagi mengembalikan semula fungsi masjid sebagai pengkalan utama pembangunan modal insan, institusi berkenaan disaran untuk meningkatkan tahap pengurusan dengan lebih profesional.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, pengurusan masjid serta masyarakat sekitar harus berkembang dengan lebih rancak sejajar dengan arus peredaran zaman.
Katanya, perubahan tersebut tidak akan berjaya sekiranya tiada idea-idea dan tindakan proaktif untuk merancakkan suasana masjid dengan aktiviti atau program yang mesra rakyat.
“Setiap pihak yang berada di dalam dan luar institusi itu harus bersedia untuk berubah bagi mengelakkan masjid hanya dilihat sebagai tempat untuk menunaikan solat.
“Pentadbiran dan pengurusan masjid juga perlu dikemaskinikan, yang bercirikan profesionalisme. Sejak zaman Rasulullah S.A.W, masjid bukan hanya tempat ibadah, tetapi pusat kegiatan dakwah Islam yang luas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Liqa Mahabbah Peringkat Masjid DUN Batu Rakit, di Dewan Masjid Mengabang Telipot di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Liqa Mahabbah Peringkat Masjid DUN Batu Rakit, di Dewan Masjid Mengabang Telipot di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, setiap anggota masyarakat juga perlu mengikuti jejak langkah Rasulullah S.A.W dengan menjadikan masjid sebagai tempat penyebaran ilmu dan mengeratkan silaturahim sesama insan.
“Bermula dari masjid itulah, Baginda membina masyarakat baharu Madinah. Ahli sufi antara golongan yang terbit daripada kesedaran fungsi masjid. Mereka banyak mengambil manfaat daripada ajaran Rasulullah SAW ketika itu.
Tambahnya, pada era moden hari ini, orang ramai harus berperanan besar dengan semaksima mungkin untuk memakmurkan masjid.
“Memakmurkan masjid mempunyai dua pengertian iaitu membangun masjid secara fizikal, membersihkannya dan melengkapi dalam pelbagai sudut.