KUALA NERUS, 10 Julai - Kerajaan negeri sentiasa melihat kepentingan dan peranan para Hafiz dan Hafizah (Huffaz) di kalangan masyarakat dalam memperkasakan pendidikan golongan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, gelaran itu bukan sahaja membawa kemuliaan di sisi Allah tetapi juga menunjukkan dedikasi tinggi dalam menjaga kesucian Al-Quran.
Katanya, dalam sejarah Islam, peranan "huffaz" telah terbukti krusial, terutama ketika zaman Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang mana ramai huffaz syahid di medan perang, sehingga mendorong usaha pembukuan Al-Quran untuk memastikan kelestariannya dan diteruskan juga di zaman Khalifah Uthman bin Affan.
"Jika dulu dilihat kurangnya minat masyarakat untuk menghantar anak ke institusi pondok. Malah ada stigma jika anak yang kurang pandai dalam akademik, maka akan dihantar ke pondok untuk belajar agama dan Al-Quran.
"Sejarah tercipta apabila Maahad Tahfiz Negeri Pahang dinobatkan sebagai Sekolah Terbaik SPM 2023 peringkat kebangsaan yang lepas.
"Kita amat berbangga terutamanya lepasan pelajar Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu (SMIYT) berjaya mencatatkan keputusan cemerlang di dalam SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Himpunan Huffaz 4.0 Negeri Terengganu Darul Iman di Dewan Arena Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini.
Selain itu, Skim Hafaz Al-Quran Dewasa Terbuka Negeri Terengganu Darul Iman yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
"Para huffaz ini diberi peluang untuk berbakti dalam kegiatan keagamaan kepada masyarakat di tempat tinggal mereka dengan mengadakan kelas Al-Quran atau fardhu ain secara sukarela.
"Kita mengharapkan agar dengan adanya program seumpama ini dapat meningkatkan celik ilmu agama di dalam masyarakat, terutamanya golongan muda kita," ujar beliau.
Tambahnya, kerajaan negeri turut memastikan kebajikan dan keperluan anak-anak huffaz dijaga sebaik mungkin, agar mereka dapat meneruskan tanggungjawab menjaga dan menghafal Al-Quran dengan komitmen penuh.
"Saya mengharapkan agar kita semua dapat menjadikan program tahunan ini medan untuk menjalinkan ukhuwwah, menimba ilmu dan pengalaman.
"Serta muhasabah untuk menjadikan kita sebagai hamba yang sentiasa dekat kepada Pencipta," katanya.