Penyertaan IGMR22 Dibuka Hingga 31 Oktober

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Pendaftaran bagi Kejohanan berbasikal antarabangsa ‘International Golden Monsoon Ride 2022’ (IGMR22) edisi kedua anjuran Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dilanjutkan sehingga 31 Oktober ini bagi memberi peluang lebih ramai penyertaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, penganjuran kali ini bakal diadakan di Terengganu International Endurance Park (TIEP) melalui laluan Ladang Rakyat yang lebih mencabar berbanding edisi sebelumnya.

“Kejohanan kali ini dianggap lebih berprestij apabila dinaik taraf di peringkat antarabangsa melibatkan negara Asia Tenggara antaranya Indonesia, Thailand dan Singapura dengan sasaran seramai 2,000 orang peserta. 

“Monsun Timur Laut dijangka berlaku menjelang November sehingga Mac yang mana dijangkakan berlakunya penurunan pelancong. Namun, dengan penganjuran ini sedikit sebanyak mampu menarik peminat sukan berbasikal ke sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pra Pelancaran International Golden Monsoon Ride 22 di Hotel Primula, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Presiden dan Pengerusi Ketua Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun dan Ketua Eksekutif Ladang Rakyat Rakyat Trengganu Che Ku Hafiz Che Ku Denang. 

Kejohanan tersebut merupakan salah satu daripada acara dalam Terengganu Inc Challenge Series (TICS) yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri. 

Enam kategori disenaraikan dalam kejohanan ini termasuklah “Fun Ride Off Road” sejauh 37 kilometer dan “Fun Ride On Road” sejauh 43 kilometer.

Bertepatan dengan trek yang lebih mencabar, hadiah kejohanan ditawarkan lebih RM22,000 serta sebuah Perodua Myvi 1.3 sebagai cabutan bertuah utama.


Tag: