Peranan Wanita Dalam Menyokong Golongan OKU

KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Wanita memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang lebih inklusif dan mesra orang kurang upaya (OKU), sama ada sebagai ibu, pendidik, pemimpin, atau penyokong utama dalam kehidupan seharian.

Atlet Parasukma Terengganu, Norhaslina Suria Mohamed berkata, wanita, khususnya ibu kepada anak-anak OKU, bukan sahaja menjadi penjaga tetapi juga guru dan penghubung utama antara anak mereka dan dunia luar. 

“Ramai ibu sanggup mengorbankan kerjaya demi memberi tumpuan penuh kepada anak-anak bagi memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan serta perkembangan yang sepatutnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Bual Bicara Peranan wanita kepada OKU di perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, baru-baru ini.

Selain itu, wanita juga sering menjadi penyokong utama kepada suami, anak, atau ahli keluarga yang menjadi OKU akibat kemalangan atau penyakit. 

Katanya, golongan wanita  berperanan sebagai motivator, membantu OKU menerima keadaan mereka dan meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna.

Dalam bidang profesional, ramai wanita terlibat sebagai pendidik, ahli terapi pertuturan, fisioterapi, dan aktivis hak OKU. 

Tambahnya, mereka berjuang untuk memastikan golongan ini mendapat peluang pendidikan dan pekerjaan yang lebih baik.

“Jika lebih ramai wanita berada dalam kepimpinan, lebih banyak dasar mesra OKU boleh diperjuangkan.

“Wanita mempunyai empati dan keprihatinan yang tinggi, menjadikan mereka pemimpin yang sesuai untuk membawa perubahan dalam dasar dan perundangan berkaitan OKU," ujarnya.

Selain itu, wanita juga semakin aktif dalam bidang keusahawanan sosial dengan membuka peluang pekerjaan kepada OKU. 

"Usaha ini bukan sahaja membantu meningkatkan taraf hidup mereka tetapi juga menggalakkan penerimaan masyarakat terhadap keupayaan golongan ini.

"Sebagaimana kata pepatah, jika ingin berjalan jauh, berjalanlah bersama-sama," tambah beliau.

Justeru itu, katanya, dengan sokongan dan usaha kolektif, masyarakat yang lebih adil dan inklusif dapat direalisasikan.


Tag: