HULU TERENGGANU, 29 Mac – Tradisi menyalakan pelita panjut sempena Aidilfitri terus disemarakkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil apabila buat pertama kalinya diadakan Pertandingan Pelita Raya peringkat DUN.
Inisiatif ini digerakkan oleh komuniti setempat dengan penyertaan lebih 15 kampung di sekitar DUN Ajil, yang masing-masing menghiasi kawasan pekan Ajil dengan pelita raya pelbagai reka bentuk dan susunan kreatif.
Sebanyak 3,000 pelita dipasang sepanjang bangunan Ajil Trade Centre ( ATC ), mencetuskan suasana yang memukau dan mengimbau kenangan lama.
Lima Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setiap mukim telah menyertai pertandingan ini, menampilkan kreativiti dan usaha dalam mengekalkan tradisi pelita panjut.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim, pertandingan itu bukan sahaja bertujuan untuk mengembalikan nostalgia tetapi juga untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat.
Selain itu katanya, program pelita turut diadakan sebagai sambutan penuh mesra kepada para perantau yang pulang ke kampung halaman, menjadikan suasana Aidilfitri lebih bermakna dan berwarna-warni.
“Tradisi pelita panjut ini adalah warisan nenek moyang yang semakin dilupakan.
"Dengan penganjuran pertandingan ini, kita bukan sahaja menghidupkan kembali budaya tersebut tetapi juga memberi ruang kepada anak muda untuk turut serta dalam aktiviti komuniti,” katanya ketika merasmikan pertandingan tersebut.
Pertandingan ini dinilai berdasarkan kreativiti susunan pelita, keunikan reka bentuk, dan elemen tradisional yang diterapkan.
Pemenang utama akan membawa pulang hadiah wang tunai serta trofi khas sebagai penghargaan atas usaha dan komitmen mereka dalam mengekalkan warisan tradisi ini.
Pertandingan tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah serta Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Dato' Rosol Wahid.
Johan pertandingan telah dimenangi oleh pasukan dari Mukim Penghulu Diman yang diwakili oleh JPKK Bukit Apit, Cerang Nibong dan Jaba yang membawa hadiah wang tunai sebanyak RM 700.
Kemenangan ini mengukuhkan lagi semangat gotong-royong dan perpaduan dalam kalangan penduduk kampung.
Sementara itu, seorang peserta, Rulasmawi A.Wahab, 48, meluahkan rasa bangga dapat turut serta dalam pertandingan ini dan berharap ia akan menjadi acara tahunan.