Peserta Ladang Kontrak Peroleh Pendapatan Lumayan

SETIU, 26 Mei - Beberapa peserta ladang kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperolehi pendapatan lumayan hasil jualan tembikai termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka mengakui walaupun pendapatan diperolehi tidak selumayan sebelum PKP dikuatkuasakan, tetapi tiada lambakan berlaku selepas FAMA membeli semua tembikai yang diusahakan.

Seorang peserta, Baharudin Ibrahim, 52, dari Kampung Rhu 10, di sini, mengakui memperolehi pendapatan bersih melebihi RM2,800 selepas kira-kira 180 tan metrik tembikai dibeli FAMA.

"Kami mula menanam tembikai di tanah pertanian berkelompok seluas empat hektar mulai pertengahan Mac lalu.

"Pada mulanya timbul kebimbangan akan berlaku lambakan tembikai yang diusahakan, tetapi selepas kami menandatangani kontrak sebagai peserta ladang, masalah pasaran seperti dialami ke atas pengusaha tembikai di beberapa negeri selesai," jelasnya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Norzulali Hussin, 43, berkata, walaupun FAMA menawarkan harga belian tembikai terus dari ladang 80 sen sekilogram, tetapi peserta masih mendapat keuntungan, meskipun tidak seperti musim lalu.

Ujarnya, FAMA membeli tembikai diusahakan peserta ladang kontrak antara RM1.20 dan RM1.50 sekilogram tahun lalu.

"Walaupun harga belian musim ini merosot, tetapi peserta masih memperolehi keuntungan selepas mengusahakan tanaman dalam tempoh dua bulan mulai pertengahan Mac lalu," katanya yang memperolehi keuntungan sebanyak RM2,000 hasil jualan tembikai diusahakan.

Dalam perkembangan sama, Pengarah FAMA negeri, Che Ghani Che Wan memberitahu, setakat ini pihaknya membelanjakan sebanyak RM727,716 untuk membeli 411 tan metrik tembikai daripada usahawan ladang kontrak.

Katanya, 20 peratus tembikai diusaha petani dibekalkan kepada pasaran tempatan, 10 peratus membabitkan jualan secara langsung oleh FAMA manakala 70 peratus melalui agihan pemasaran melalui FAMA di seluruh negara.

"Berdasarkan pengaturan pemasaran oleh lima pemborong tempatan tembikai, sebanyak 250 tan metrik adalah untuk pasaran tempatan dan luar Terengganu," katanya kepada media selepas menyaksikan urusan belian daripada peserta ladang kontrak di Kampung Rhu 10, Setiu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, tambahnya, setakat ini tembikai terutama membabitkan gred satu iaitu lima kilogram ke atas masih mendapat permintaan.

"Kita juga turut membeli tembikai diusahakan 50 orang petani yang bukannya peserta ladang kontrak," katanya sambil menegaskan tidak berlaku lambakan tembikai di negeri ini.

--BERITA HARIAN


Tag: