KUALA TERENGGANU, 7 Februari- Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri (PMINT) menyasarkan perolehan pendapatan melalui sembilan anak syarikatnya sebanyak RM170 juta tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Dato’ Wan Adnan Wan Derahman, berkata jumlah tersebut lebih tinggi berbanding perolehan pada tahun lepas yang dianggarkan berjumlah RM100 juta.
“PMINT mempunyai perancangan lima tahun bermula 2022 sehingga 2026 dan sekarang sudah masuk tahun ketiga.
“Untuk tahun ini sasaran perolehan PMINT adalah lebih kurang RM170 juta dan kita akan bergerak lebih agresif berbanding tahun 2023,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam segmen Bicara Jabatan Kerajaan di TV Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, anak-anak syarikat PMINT melibatkan pelbagai sektor termasuk pelancongan, pertanian, pengilangan makanan, kuari, mineral dan galian serta pembangunan perumahan.
Sementara itu Wan Adnan berkata, fokus utama PMINT untuk tahun ini adalah mengurus kawasan industri dengan lebih agresif.
Katanya, kawasan perindustrian yang ditambah baik dan dibaik pulih berpotensi menarik pelabur termasuk daripada luar negara.
“Dengan adanya tambah baik di kawasan indsturi ini dari segi fasiliti, jalan masuk, talian telekomunikasi, bekalan elektrik, bekalan air dan sebagainya ia akan lebih menarik minat pelabur dengan tawaran dan pakej terbaik yang kita sediakan.
“Apabila pelabur luar negara masuk dan membuat pelaburan yang bernilai ratusan juta di Negeri Terengganu dengan memajak kawasan-kawasan industri sudah pasti ia akan dapat membangunkan lagi sektor ekonomi samada SME dan sebagainya.
“Selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kerana kita sasarkan 70 peratus daripada pekerja dalam industri yang dibangunkan mesti rakyat Terengganu,” ujarnya.