PRU14 : MBNT Sambut Baik Manifesto Tambahan BN Terengganu



Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) menyambut baik manifesto tambahan  BN Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menawarkan pelbagai kelebihan bagi rakyat negeri ini.

Pengerusinya, Amirullah Othman berkata, manifesto tambahan BN Terengganu yang menumpukan tiga bidang utama iaitu tawaran mengurangkan kos beban hidup rakyat, perumahan dan pendidikan yang bakal diberi keutamaan sebagai janji Kerajaan BN kepada rakyat negeri ini dilihat sangat menyeluruh termasuk menfokus kepada golongan belia.

Katanya, menerusi usaha mengurangkan kos beban hidup rakyat dan isu perumahan, beberapa insentif baru berbentuk bantuan disediakan dalam manifesto berkenaan sangat membantu golongan belia.

“Sebagai contoh, tambahan 20,000 unit rumah mampu milik yang bakal dilaksanakan kerajaan negeri sekiranya kekal memerintah selepas PRU14 sedikit sebanyak membantu golongan belia yang baru bekerja dan yang baru memulakan hidup berumah tangga memiliki rumah sendiri.

“Kita sedia maklum, kos untuk membina sebuah rumah kini mencecah ratusan ribu ringgit dan ini membebankan golongan belia yang berpendapatan rendah dan sederhana,” ujarnya kepada Teganukita, hari ini.

Sementara itu katanya, manifesto tambahan BN Terengganu untuk mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan pula bukan sahaja langkah yang baik dalam menangani masalah penggangguran, malah memberi pengalaman untuk golongan muda.

“Program Transformasi Siswazah Terengganu (TGTP) yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk para graduan umpamanya sangat membantu mereka menimba pengalaman dan mendapatkan peluang kerja apabila ditempatkan di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dengan diberikan elaun bulanan.

“Disamping, projek mega Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menyediakan peluang kerja kepada golongan belia yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkaitan,” ujarnya.

Katanya, golongan muda khususnya diharap terus memberi mandat semula kepada BN supaya semua program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar  selepas berjaya membentuk kerajaan.

Tag: