PRU15: Wan Hassan Selesai Tunai Tanggungjawab Mengundi

Foto Oleh: Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris

DUNGUN, 19 November- Calon Perikatan Nasional (PN-PAS) bagi Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail di sini pada jam 9 pagi tadi.

Terdahulu, beliau tiba di pusat mengundi kira-kira 8.15 pagi sebelum beratur bersama-sama pengundi lain untuk membuang undi.

Wan Hassan mengharapkan agar pengundi membuat pilihan yang bijak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini dalam menentukan masa depan negara.

"Saya telah selesaikan tanggungjawab sebentar tadi, dan saya cadangkan pembuangan undi dibuat awal oleh mereka yang layak mengundi bagi memudahkan urusan pengiraan walaupun tempoh masa yang dibenarkan sehingga 6 petang. 

"Alhamdulillah, ketika hadir ke sekolah tadi saya lihat kehadiran pengundi agak memberangsangkan, mungkin dengan keadaan cuaca yang baik menyebabkan ramai pengundi keluar awal, " ujarnya ketika ditemui di perkarangan luar pusat mengundi, hari ini.

Wan Hassan yang juga penyandang kerusi Parlimen Dungun berentap di Parlimen itu bersama empat lagi pesaingnya, iaitu calon dari Barisan Nasional ( BN), Nurhisham Johari, Pakatan Harapan (PH), Mohasdjone @ Mohd Johari Mohamad, Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Noraisah Hasan dan Bebas, Ghazali Ismail.

Pada PRU14, Wan Hassan menang dengan majoriti 13,119 undi menewaskan BN dan PH.