Ahmad Samsuri ketika berucap di Majlis Ucap Negeri Terengganu Tahun 2018 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim |
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan pelaksanaan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) yang menjadi model polisi dan pentabiran negeri jangka panjang adalah realistik.
Beliau berkata, pelan tersebut dirangka berteraskan tiga dasar, tujuh prinsip, sembilan strategi, lima bidang utama, sepuluh program induk, enam sasaran dan tiga teras pelaksanaan bagi menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang 2030.
“Bagi mencorak pembangunan lebih terancang dan memberikan faedah meluas kepada rakyat, masa untuk melaksanakan perkara-perkara ini tidak cukup dalam lima tahun dan sebab itulah sasarannya adalah tahun 2030 iaitu tempoh yang realistik untuk dibuat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Majlis Ucap Negeri Terengganu Tahun 2018 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya , Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wan Mohd Wan Ibrahim serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Lain-lain adalah, kerajaan negeri sebagai pemandu, pemudahcara dan pemantau kepada swasta dan rakyat dalam menjayakan pelan pembangunan negeri; pengasingan fungsi antara badan politik dan kuasa ekonomi (Badan politik sebagai penentu halatuju negeri, perancang program dan pemantau manakala kuasa ekonomi bertanggungjawab terhadap penentuan syarikat pelaksana).
Tambah beliau, walaupun falsafah PITAS 2030 adalah membina sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya yang menuju keredhaan Allah S.W.T, namun kerajaan negeri tetap mengutamakan kaum-kaum lain di negeri ini.
“Kita tidak kata membina sebuah masyarakat Islam kerana kita memahami inilah realiti yang ada di Negeri Terengganu (kepelbagaian kaum),” ujarnya.