BESUT, 25 Julai - Tuduhan segelintir pihak yang mengatakan kerajaan Terengganu tidak telus dalam mengurus perbelanjaan dan menjadi alasan untuk menyekat royalti minyak negeri itu adalah tidak berasas.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyangkal tuduhan songsang berkenaan dengan menyifatkan ia hanya tindakan bermotif politik kumpulan tertentu.
“Pada saya itu adalah pandangan yang tidak berasas, itu sahaja, ‘simple’. Saya boleh simpulkan begitu dalam satu perkataan mudah. ‘It's about politics’,” katanya ketika disoal media berhubung perkara terbabit hari ini.
Terdahulu, ada pihak mendakwa, bayaran royalti tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri kerana bimbang dana khas milik rakyat Terengganu itu akan disalah guna.
Namun semalam, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengisytiharkan Terengganu sebagai negeri terbaik dalam ketelusan belanjawan atau perbelanjaan sesebuah kerajaan.
Jelas IDEAS, pengiktirafan terhadap Kerajaan Terengganu bagi dua tahun berturut-turut itu dibuat berdasarkan sistem Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) 2024 yang dibina berdasarkan penanda aras peringkat antarabangsa.
Ujar IDEAS, dari sudut perbelanjaan, Terengganu paling terkehadapan kerana telah menerbitkan data tentang perbelanjaan operasi mengikut klasifikasi ekonomi.
“Terengganu turut menyediakan data terperinci tentang perbelanjaan negeri sehingga ke peringkat program.
“Terengganu juga wajar dipuji kerana ia merupakan satu-satunya negeri setakat ini yang menerbitkan dokumen Cadangan Belanjawan Eksekutif (EBP) secara konsisten. Penerbitan dokumen EBP penting kerana ia mengandungi maklumat melibatkan dana awam dan keutamaan perbelanjaan negeri,” jelas IDEAS.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan soal integriti dan ketelusan telah menjadi perhatian pentadbiran beliau sejak bergelar Menteri Besar pada tahun 2018.
Katanya lagi, semua pihak sama ada di peringkat negeri atau persekutuan tidak perlu menjadikan semua perkara sebagai bahan politik.
“Jika apabila (mainan) politik dijadikan asas utama, ia akan memberi kesan negatif kepada rakyat awam termasuk mereka yang tidak terlibat dalam politik parti.
“Kita kena pastikan bahawa politik ada masa dan tempatnya, tetapi apabila sampai untuk membangunkan negara dan negeri, kepentingan awam perlu diutamakan lebih daripada kepentingan parti,” tambahnya.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri turut berkata, royalti petroleum adalah milik Terengganu, tidak ada sebab atau alasan untuk menafikan hak terbabit kerana ia akan menyusahkan rakyat.