Sidang DUN Terengganu Dijangka Panas Bahas Royalti

KUALA TERENGGANU, 21 April – Isu royalti petroleum dijangka menjadi topik hangat dibincangkan oleh 32 wakil rakyat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bermula Isnin, esok.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau tidak menolak kemungkinan isu berkenaan akan menjadi perbahasan sidang DUN Terengganu kali ini.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan mendakwa telah menyalurkan Wang Ehsan berjumlah RM172.3 juta kepada kerajaan Terengganu pada minggu lepas bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

“Tetapi hasil perbincangan dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu, tidak sama dengan apa yang telah dibincang (lain dibincang lain dibuat).

“Kita sebenarnya jangka penyaluran terus ke kerajaan negeri untuk baki lebih RM700 juta lagi untuk 2023, baki tahun lepas sebagaimana dibincang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Terengganu di Perkarangan Kediaman Seri Iman, Batu Buruk baru-baru ini.

Tambah Ahmad Samsuri, kenyataan itu juga jelas menunjukan bayaran royalti Terengganu tidak akan disalur sebagaimana sebelumnya.

“Tidak sama dengan 10-15 tahun lalu, cara penyaluran ke negeri dan kita akan ‘adapt’ dengan cara ini.

“Ini kali pertama kita berhadapan dengan situasi ini, sebahagiannya kita akan sebut dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti,” ujarnya.

Untuk rekod, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ke-15 akan bermula pada 22 hingga 25 April 2024.


Tag: