Skim Baja Rintis Perlukan Penelitian Lanjut

DUNGUN, 11 Julai- Kerajaan perlu membuat penelitian lanjut terhadap Skim Baja Rintis termasuk dari sudut apakah kebaikan skim tersebut kepada petani.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim memaklumkan, Kementerian Pertanian dan keterjaminan Makanan telah membuat keputusan bahawa tiada lagi Skim Subsidi Baja Padi di beberapa kawasan jelapang padi.

Katanya, kawasan tersebut adalah IADA Ketara Besut, KADA serta IADA Semerak Kemasin Kelantan, IADA Pulau Pinang dan IADA Barat Laut Selangor bagi musim ini.

"Ia diganti Skim Baja Rintis dengan sistem tender terbuka. Syarikat yang berjaya akan uruskan semburan dan kerja-kerja tabur baja, maknanya urusan sembur dan tabur baja bukan lagi urusan pesawah," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Benih Ikan Lampam Ke Sungai Jongok Batu, Hulu Dungun, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, beberapa isu telah dibangkitkan pesawah di lapangan mengenai penggantian skim tersebut.

"Antaranya siapa kontraktor yang dapat kontrak untuk sembur dan tabur baja dan berapa lama kontraktor dan pekerja mereka ada pengalaman 'buat padi'.

"Selain itu, mereka turut bertanya apa jaminan kontraktor boleh buat campuran baja dan teknik tabur baja yang lebih baik berbanding pengalaman pesawah yang telah berpuluh tahun bergelumang selut dan lumpur," ujarnya.

Katanya, para pesawah turut mempersoalkan mampukah kontraktor bagi jaminan mereka boleh menepati jadual pembajaan yang dikehendaki pesawah.

"Berapa ramai mereka ada pekerja untuk menyelesaikan taburan baja kira-kira 5,000 hektar sawah padi IADA Ketara Besut, tidak termasuk lokasi lain lagi," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Azman memberitahu, kenaikan harga diesel memberikan impak yang agak ketara kepada sektor pertanian. 

"Contohnya kos untuk bajak seekar sawah dulunya RM120 tetapi kini telah naik kepada RM180, memang peningkatan yang agak mendadak.

"Belum di kira kos-kos lain. Kita yakin kos lori padi, jentera-jentera pertanian yang menggunakan diesel turut meningkat," ujarnya.