Sultan Mizan Kurnia Sumbangan Fakir Miskin Dan Pelajar Sempena Aidilfitri

KUALA TERENGGANU, 12 April – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Pengurniaan Sumbangan Kepada Fakir Miskin dan Pelajar Sekolah Sempena Hari Raya Aidilfitri 1443H Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dan Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) di Dewan Az-Zahra’, Istana Syarqiyyah, di sini hari ini. 

Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath. 

Menyambut keberangkatan tiba Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Mohd Fadzli Yusof.

Sultan Mizan berkenan mengurniakan bantuan kepada 200 fakir miskin terpilih dari seluruh daerah Terengganu berupa wang tunai RM500 selain hamper barangan keperluan harian bernilai RM250 melalui YDSM termasuk 25 orang penarik beca turut menerima kurniaan yang sama. 

Di samping itu, seramai 210 pelajar dari keluarga miskin dari tujuh buah sekolah dipilih menerima kurniaan berupa wang tunai sebanyak RM200 setiap seorang. 

Pada tahun ini juga, sebanyak tiga buah madrasah dan pusat pengajian Islam turut dianugerahkan kurniaan yang sama melibatkan 30 pelajar bagi setiap madrasah. 

Lebih istimewa, YTNZ memberikan kurniaan wang tunai RM150 seorang kepada 150 fakir miskin wanita bagi persediaan menyambut Aidilfitri.

 


Tag: