Sultan Terengganu Berkenan Sertai Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa

SETIU, 27 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyertai kejohanan kuda lasak antarabangsa Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu 2024 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong petang tadi.

Baginda telah berkenan menyertai dalam Kategori Antarabangsa Championship Endurance National (CEI 2*120) Kilometer (KM).

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan pada petang tadi melibatkan laluan 120 KM, 100 KM dan 80 KM.

Peserta dengan kategori CEI*2 120 KM bertolak pada pukul 5 petang, kategori CEI*1 100 KM pula bertolak pukul 5.15 petang manakala kategori terakhir 80 KM pula bertolak jam 5.30 petang.

Sultan Mizan yang memakai baju biru bernombor sembilan mewakili kelab Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) menunggang kuda pilihannya bernama Ashva Puma, dicabar 83 peserta.

Turut beraksi dalam perlumbaan sejauh 120 kilometer itu juara 2016 dari kelab State Terengganu Endurance Team (STET), Mohammad Fuad Hashim yang menunggang kuda diberi nama F S Patagon.

Peserta lain yang akan bersaing hebat dengan Sultan Mizan termasuk peserta antarabangsa dari Belarus, Viktoriyia Melnikava serta tiga orang peserta Singapura dan dua lagi, masing-masing mewakili Singapura dan China.

Kejohanan edisi ke-7 yang bermula sejak 2018 itu dilepaskan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tepat jam 5 petang tadi menampilkan beberapa kelab antarabangsa dari dalam dan luar negara.

Perlumbaan yang mengambil masa lebih 12 jam itu dijangka berakhir pada jam 5.20 pagi esok.

 


Tag: