Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
Ahmad Razif menyerahkan sumbangan RM200,000 kepada ibu bayi Faris Wafiuddin |
Kerajaan negeri melalui Sekretariat Tabung Darul Iman menyumbangkan RM200,000 kepada bayi Faris Wafiuddin Faris Irwan berusia 10 bulan yang menghidap penyakit kegagalan hati.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya terpanggil bagi menampung kos pembedahan hati bayi malang berkenaan berjumlah RM250,000 di Hospital Renjin, Shanghai, China pada akhir bulan ini.
"Setiap tahun kita membelanjakan hampir RM1 juta untuk membantu rakyat Terengganu tidak berkemampuan yang mengalami masalah kesihatan.
"Selepas dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Perangan, kita bersetuju membantu Faris Wafiuddin yang memerlukan pembedahan segera bagi merawat penyakitnya," katanya ketika melawat Faris Wafiuddin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur hari ini.
Cek bernilai RM200,000 itu diserahkan kepada ibu bayi berkenaan, Siti Rokiah Abd Wahab, 39, yang bakal menemani anak bongsunya itu ke Shanghai.
Beliau berkata, bantuan berkenaan tidak terhenti di situ saja, sebaliknya pihaknya akan memantau perbelanjaan Faris Wafiuddin ketika berada di Shanghai nanti.
"Kita tidak mahu ada perkara yang boleh membebankan keluarga pesakit ketika berada di Shanghai nanti termasuk perbelanjaan harian keluarga yang menemani," katanya.
Sementara itu, Siti Rokiah berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus menyumbang bagi memenuhkan kos pembedahan anak bongsunya itu ke Shanghai tidak lama lagi.
"Hanya Allah SWT dapat membalas jasa semua pihak terbabit sama ada berbentuk doa dan wang ringgit bagi meringankan beban kami sekeluarga.
"Semoga bantuan Kerajaan Terengganu dan seluruh rakyat Malaysia ini dapat mengubati penyakit anak yang semakin serius," katanya.