Terengganu Akan Temui Kerajaan Pusat Bincang Isu Royalti


Ahmad Samsuri ketika meninjau Bazar Ramadan Batu Enam, Kuala Nerus, petang semalam. Foto Harish Fadzillah




Kerajaan negeri akan mengatur pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan kaedah pelaksanaan penyaluran royalti minyak dan gas kepada negeri itu.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jaminan Dr Mahathir yang dikeluarkan menerusi media sosial itu sangat positif serta ditunggu-tunggu oleh rakyat Terengganu sekali gus turut mencerminkan hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Persekutuan bagi menyelesaikan isu tuntutan royalti ini sejak sekian lama.


“Saya mewakili seluruh rakyat Terengganu mengalu-alukan sebarang langkah ke arah memberikan royalti kepada Terengganu. Ini suatu yang positif dan dialu-alukan oleh rakyat Terengganu,” katanya selepas meninjau Bazar Ramadan Batu Enam, Kuala Nerus, petang semalam.

Isu royalti minyak dan gas Terengganu antara Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 Pakatan Harapan yang berjanji akan menyalurkan royalti sebanyak 20 peratus kepada Terengganu sekiranya berjaya memenangi PRU berkenaan.

Dalam perkembangan yang lain,  Ahmad Samsuri menganggap kenyataan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Azan Ismail yang menegaskan rakyat Terengganu tidak akan mendapat manfaat secara terus daripada royalti itu, hanyalah pandangan peribadinya.


Sementara itu, beliau juga mengalu-alukan untuk meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana inisiatif itu mampu menjana ekonomi negeri dan rakyat Terengganu terutama di setiap hentian sepanjang projek itu.

"Secara umumnya sebarang projek yang mampu membawa keuntungan dan menjana ekonomi negeri serta rakyat kita alu-alukan.

"Kita berharap Kerajaan Persekutuan menimbangkannya lebih serius supaya tidak membebankan negeri dan juga rakyat Terengganu,"katanya.


Tag: