Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
PUTRAJAYA, 30 Jun - Terengganu berada di kedudukan ketiga daripada lima negeri yang merekodkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih baik berbanding pencapaian di peringkat nasional pada 2021.
Menurut perangkaan terkini dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi lima negeri yang berprestasi lebih baik itu adalah Pulau Pinang, yang mengungguli prestasi KDNK 2021 dengan mencatatkan pertumbuhan 6.8 peratus, diikuti oleh Selangor dengan (5.0 peratus), Terengganu (3.6 peratus), Perak (3.5 peratus) dan Kedah (3.2 peratus).
Pada tahun lalu, kadar pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya adalah sebanyak 3.1 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ekonomi Malaysia kembali menunjukkan pemulihan pada 2021 dengan peningkatan 3.1 peratus berbanding penyusutan 5.5 peratus pada tahun sebelumnya ekoran pelbagai inisiatif dan tindakan pantas yang diambil oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk memulihkan ekonomi.
"Sektor pembuatan mengukuh sebanyak 9.5 peratus, diikuti oleh sektor perkhidmatan, 1.9 peratus dan sektor perlombongan & pengkuarian sebanyak 0.3 peratus.
"Sektor pertanian dan pembinaan masing-masing merosot sebanyak 0.2 peratus dan 5.2 peratus. Selari dengan pemulihan yang ditunjukkan di peringkat nasional, ia turut diterjemah melalui prestasi KDNK pada semua negeri yang telah mulai pulih daripada krisis globalCOVID-19 yang ditunjukkan melalui pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada 2021," katanya dalam satu kenyataan sebagaimana dilapor Berita Harian online.
Mohd Uzir seterusnya merumuskan ekonomi Malaysia dijangka terus meningkat pada 2022 ekoran daripada peningkatan permintaan dalam dan luar negeri berikutan beberapa usaha pantas kerajaan mengurangkan impak krisis pandemik COVID-19.
Beliau berkata, ini seperti pembukaan semula sempadan antarabangsa, pelaksanaan pakej bantuan serta rangsangan ekonomi dan kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi melandaikan lekuk pandemik.
Katanya, impaknya dapat dilihat daripada pemulihan dalam nilai KDNK pada suku pertama 2022 kepada 5.0 peratus berbanding penguncupan 0.5 peratus pada suku pertama 2021.
"Pada tempoh sama, pasaran buruh lebih kukuh dengan kadar penyertaan tenaga buruh turut naik 0.4 mata peratus kepada 69.0 peratus," katanya.