• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Terengganu, JAKS Solar Power Bangunkan Projek Skala Besar

KUALA TERENGGANU, 25 Julai – Anak Syarikat Kerajaan Negeri, TDM-YT Plantation Sdn Bhd dan JAKS Solar Power Holdings Sdn Bhd (JAKS Solar Power) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan projek tenaga solar berskala besar di Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek tersebut akan menggunakan sebahagian daripada 2,600 hektar tanah di Ladang Bukit Bidong untuk pemasangan panel solar.

Menurutnya, Projek Ladang Solar Skala Besar 5 (LSS5) yang diusahakan itu akan melibatkan penawaran loji solar dan penyertaan dalam bidaan Ground Mounted & Rooftop 30-500MWac dalam pakej tiga mereka.

“Kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan mempromosikan penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan.

"Terengganu sentiasa mendukung dan menyokong usaha-usaha dalam bidang tenaga boleh baharu dan kami percaya bahawa dengan adanya sokongan padu daripada kerajaan persekutuan, pihak swasta, dan masyarakat setempat, kita mampu mencapai sasaran tenaga boleh baharu yang telah ditetapkan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada MoU antara TDM-YT Plantation Sdn. Bhd. dan JAKS Solar Power Holdings Sdn Bhd. Bertempat di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TDM-YT Plantation, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berharap kerjasama tersebut akan membawa kejayaan besar dan memberikan impak positif yang berpanjangan kepada Terengganu. 

“Dengan termeterainya MoU ini, kami percaya projek tersebut akan menyumbang kepada pembangunan tenaga bersih dan meningkatkan taraf hidup penduduk setempat,

"Pembangunan ini akan memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan, peluang perniagaan, serta penyediaan latihan dan peningkatan kemahiran kepada penduduk tempatan," katanya.

Pengarah Eksekutif JAKS Resources Berhad, Dato’ Razali Merican Naina Merican, menambah bahawa tujuan projek berkenaan adalah untuk memudahkan tawaran bidaan JAKS Solar Power Holdings sebagai pemajak.

“Gabungan ini melibatkan Konsortium JAKS dan China Power Engineering Consulting Group International Engineering Co. Ltd., yang akan berperanan penting dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui di Terengganu.

“Projek ini diharapkan akan membawa perubahan signifikan dalam sektor tenaga di Terengganu, memberikan manfaat ekonomi dan sosial kepada masyarakat," ujarnya.

Sekali gus katanya, menyokong matlamat negeri dalam mencapai penggunaan tenaga yang lebih bersih dan lestari.

 

 

 


Tag: