• 08 Nov 2024 | 06 Jamadil Awal 1446

Terengganu Jalin Hubungan Dua Hala Dengan Ulama Selatan Thailand

KUALA TERENGGANU, 26 Februari- Kerajaan negeri melalui portfolio Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan telah mengadakan lawatan kerja selama empat hari ke Selatan Thailand, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kunjungan hormat itu diharap memberi impak ke arah memperkukuhkan lagi hubungan baik antara kerajaan negeri dan daerah Selatan Thailand yang pernah menjadi Tanah Melayu zaman pra kemerdekaan terdahulu.

“Bumi Pattani, Narathiwat dan Selatan Thailand seluruhnya penuh susur sejarah dan tradisi keilmuan Islam dengan jaringan ratusan pondok Pengajian Islam dan ribuan para ulama serta asatizah tersohor nusantara. 

“Lawatan kerja ini menandakan bahawa jalinan antara Terengganu dan Selatan Thailand tidak pernah terputus sekalipun berpisah antara sempadan dua negara.

Antara intipati program yang disusun sepanjang berada sana adalah program menyantuni dan menggabung jalin bersama pelbagai pondok-pondok negara gajah putih tersebut.

"Kita juga tidak ketinggalan mengambil peluang untuk menelusuri tempat bersejarah dan mempunyai simbol budaya Melayu Islam. Tambahan juga, kunjungan hormat Kerajaan Negeri Terengganu ini adalah dalam rangka meneruskan program Haflah Ihya Ilmu Terengganu bersama Tuan Guru Pondok buat rakyat Terengganu", ujarnya.

Tambah beliau, wakil kerajaan negeri tidak ketinggalan mengambil ibrah dan taujihat mutiara kata berharga oleh tuan-tuan guru pondok. Antara destinasi jaulah ialah Pondok Tepus Baba Abu Qutaidah Rashidi, Pondok Dala Baba Karim, Pondok Hutang Hangus Baba Abdulkadir Dan juga Pondok Bendang Rahman, Madrasah  Rahmaniah, Wilayah Narathiwat.

"Ulama' Selatan Thailand ini kaya dengan khazanah ilmunya yang banyak mentahqiq dan menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan penuntut ilmu bukan sahaja seluruh nusantara malah seantero dunia.

“Saya yakin dengan kolaborasi ini boleh menjadi agenda besar dan inilah kunjungan kasih sayang yang dapat merealisasikan semangat bersaudara antara wilayah Selatai Thailand dan negeri Terengganu seterusnya menyebarluaskan lagi dakwah Islamiyyah,” katanya.
 


Tag: