Pelita Raya 2025: Satu Kejayaan Walaupun Tersasar Jangkaan Awal
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Terengganu mengambil perhatian terhadap gesaan Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) dan Bait Al Amanah agar kerajaan negeri menaikkan bilangan perwakilan wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 3.1 peratus kepada 13.9 peratus.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan membuat penilaian atas cadangan yang dikemukakan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
"Kita akan nilai dan kaji cadangan mereka, bergantunglah jika kita rasa selepas kajian pertimbangan itu perlu dibuat sesuatu pindaan, insya-Allah kita akan buat. Jadi bergantung kepada bagaimana pendapat selepas kita buat kajian nanti.
"Apapun, kita ucapkan terima kasih kepada NGO dan pihak-pihak di luar yang memberikan pandangan, pandangan ini akan dinilai mengikut keperluan semasa, kedudukan struktur masyarakat, budaya dan sebagainya yang ada di negeri Terengganu ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan insentif kemenangan Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Para SUKMA 2024 di Wisma Darul Iman, semalam.
Tambahnya, sebarang perubahan perlu melihat kepada struktur demografi masyarakat yang ada di negeri Terengganu.
"Saya difahamkan, kajian dilaksanakan NGO ini melihat dari segi nombor, bilangan. Sedangkan kalau kita hendak tengok keseluruhannya, ia perlu dilihat daripada pelbagai aspek dan menilai kedudukan masyarakat di sini, permintaan wanita sendiri. Ini yang kita kata kena lihat A to Z, bukan hanya dari sudut nombor.
"Kita kurang atau lebih, dibandingkan dengan negeri lain, kita kena lihat struktur demografi masyarakat negeri lain tidak sama dan ada keperluan untuk kita kaji secara holistik perkara ini," tambahnya.
Beliau turut menafikan kekurangan perwakilan wanita akan menyebabkan berlakunya pengabaian hak wanita-wanita di negeri itu.
"Hak wanita? tentu kita jaga. (Wakil rakyat) lelaki juga rapat dengan (isu-isu) wanita, saya tidak menafikan ada kepentingannya untuk mempunyai exco wanita secara khusus dan pertambahan adun wanita. Namun, kita perlu melihat banyak aspek sebelum dipertimbangkan," katanya.