Terengganu Perkenal Garis Panduan Baharu Perkasa Syariah

KUALA TERENGGANU, 31 Julai – Dalam usaha untuk memperkasakan pelaksanaan undang-undang syariah di Negeri Terengganu, satu bengkel khas telah diadakan bertujuan untuk membangunkan Garis Panduan Pendengaran Kes Segera Kes Jenayah Syariah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata bengkel tersebut adalah inisiatif untuk menangani kes-kes tangkapan yang melibatkan bukan warganegara dan warganegara yang tinggal di luar negeri, serta memastikan bahawa prosedur undang-undang dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Negara telah menghadapi pelbagai cabaran terhadap undang-undang syariah, termasuk kes seperti Iki Putra Mubarak dan Nik Elin. Namun, ini tidak bermakna kita perlu mengaku kalah, sebaliknya, memerlukan usaha yang berterusan untuk memperkasakan perundangan syariah.

“Kerajaan Negeri Terengganu telah menetapkan Pemerkasaan Pelaksanaan Syariah dan Pemantapan Pendidikan sebagai teras utama dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030),” katanya ketika berucap pada bengkel berkenaan bertempat di Sumai Hotel Apartment, Kuala Terengganu semalam.

Dr Khalil turut menyentuh usaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam memperkasakan pelaksanaan syariah dan menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan kualiti perundangan syariah.

Katanya, Jawatankuasa Penyelarasan Undang-undang Syariah di bawah Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah telah berjaya mencadangkan pindaan kepada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2024.

“Pindaan tersebut melibatkan peruntukan baharu dan peningkatan kadar hukuman untuk memastikan undang-undang selari dengan perkembangan semasa.

“Saya mengalu-alukan usaha ini sebagai langkah penting untuk memastikan garis panduan yang relevan dan efektif dalam pelaksanaan undang-undang syariah,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa tindakan yang diambil perlu sejajar dengan undang-undang yang berkuat kuasa dan berharap bengkel ini akan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasa perundangan syariah.


Tag: