• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Terengganu Tambah LRA Baharu Elak Ada Masalah Air

KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Kerajaan Negeri akan membina Loji Rawatan Air (LRA) baharu bagi menambah baik mutu perkhidmatan bekalan air bagi rakyat negeri ini. 

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia termasuk perancangan menyelesaikan masalah isu bekalan air yang berlaku di kawasan pulau di Terengganu. 

“Untuk tahun ini ada dalam perancangan termasuk tanggungjawab kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu air di pulau-pulau.

“Sekarang ini kita di peringkat untuk menentukan skop, spesifikasi, kalau tak sempat tahun ini awal tahun hadapan boleh mulakan pembinaan, setelah dokumen kontrak dan segala proses-proses ini diselesaikan,” jelasnya.

Beliau  berkata demikian  dalam sidang media selepas merasmikan program Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SATU Abdul Karim Endut berkata, perancangan penambahan LRA bagi memberi keselesaan berterusan berkenaan bekalan air untuk rakyat negeri Terengganu.

“Buat masa sekarang di negeri Terengganu kita secara purata mengeluarkan 780 juta liter sehari, kita sasar 1 bilion liter sehari.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) syaratkan 15 peratus tak boleh kurang dan (sekiranya) kurang negeri tersebut perlu mencari jalan untuk meningkatkan simpanan margin.

"Terengganu berada dalam zon selesa. Alhamdulillah dengan siap dan beroperasi Loji Bukit Berapit, kita mendapat tamnbahan 120 juta liter sehari, pengeluaran air di Loji Bukit Sah (Air Putih, Kemaman) pula meningkat kepada 275 juta, sekali gus meningkatkan simpanan margin kita kepada 25 peratus," ujarnya.

Katanya, dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa ada beberapa halangan dan cabaran antaranya perubahan iklim berlaku di negeri Terengganu khususnya. 

 


Tag: