KUALA TERENGGANU, 20 Mac- Kerajaan negeri telah menandatangani Perjanjian Tambahan Ketiga dengan TNB Power Generation Sdn. Bhd (TNB Genco) bagi menyempurnakan pembaharuan dalam Skim Hidroelektrik, Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir, di sini, hari ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata Perjanjian Tambahan Ketiga itu bertujuan memperjelas serta memperkukuh mekanisme pembayaran royalti agar ia selaras dengan undang-undang semasa serta hak dan kepentingan negeri.
“Dengan adanya ketetapan yang lebih jelas, hasil negeri daripada sumber tenaga hidro di Kenyir dapat dimanfaatkan secara optimum untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat Terengganu.
“Saya percaya bahawa perjanjian ini akan terus mengukuhkan hubungan antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memastikan pengurusan sumber tenaga dilakukan dengan penuh tanggungjawab serta memberi pulangan yang adil kepada semua pihak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Ketiga Dan Penyerahan Bayaran Tahun 2018-2024 Bagi SJSM Kenyir, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Nara Setia, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat serta Pengarah Urusan TNB Genco, Dato' Ir. Muhamad Nazri Pazil.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri dan TNB (dahulunya dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara Tanah Melayu) telah menandatangani suatu perjanjian bagi Projek Hidroeletrik Terengganu di SJSM pada 24 Ogos 1987.
“Perjanjian berkenaan memperuntukkan tanggungjawab kepada TNB untuk membayar pembayaran tahunan kepada Kerajaan Negeri Terengganu bagi penggunaan air dan lesen takungan air,” ujarnya.
Lanjutan daripada perjanjian tersebut jelas beliau, dua perjanjian tambahan telah ditandatangani oleh kerajaan negeri dan TNB dengan yang pertama bermula pada 24 Ogos 1997 sehingga pada 23 Ogos 2007.
“Perjanjian Tambahan Kedua pula bermula pada 24 Ogos 2007 sehingga 23 Ogos 2017 dan setelah sekian lama proses rundingan dilakukan, pada hari ini dimeterai Perjanjian Tambahan Ketiga untuk tempoh 24 Ogos 2017 sehingga 23 Ogos 2024,” jelasnya.
Dalam pada itu Ahmad Samsuri berkata, empangan Kenyir yang telah beroperasi selama 38 tahun itu telah memberi banyak manfaat kepada pembangunan Terengganu dari sudut sosial, ekonomi dan kelestarian.
“Di antaranya termasuklah kawalan penerobosan air masin, tebatan banjir, bekalan air bersih, sumber pengairan untuk pertanian dan penyediaan peluang pekerjaan melalui eko-pelancongan dan program akuakultur secara komersil,” katanya.