Terus Giat Bina Rumah Walaupun Kos Binaan Melonjak

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Kenaikan kos bahan pembinaan tidak menghalang kerajaan negeri untuk terus membina rumah mampu milik (RMM) untuk rakyat.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsusri Mokhtar berkata, bagi merancakkan lagi pembinaan RMM kerajaan negeri juga membuka pintu kepada syarikat pemaju sama ada anak kerajaan negeri seperti Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu ataupun swasta mengambil insentif membina RMM.

"Objektifnya kita hendak memastikan kehendak rakyat ini dapat dipenuhi dalam menyediakan projek perumahan ini terutamanya RMM untuk rakyat Terengganu.

"Dalam keadaan yang mencabar serta sukar pada ketika ini dengan harga kos bahan binaan meningkat untuk buat RMM sahaja sudah tentu tidak ada yang sanggup buat termasuk anak syarikat kerajaan sendiri kerana akan mengalami kerugiaan jadi terpaksa buat projek perumahan bercampur.

"Mungkin sukar untuk difahami rakyat tetapi inilah yang syarikat pemaju termasuk KOPERAT perlu hadapi dan berdepan dengan suasana ini untuk sama-sama membantu kerajaan bagi memastikan bilangan rumah yang sebagaimana kita janjikan kepada rakyat melalui manifesto dapat kita tunaikan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Perak KOPERAT Kali Ke-25, di Permai Hotel, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Pengerusi KOPERAT, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengurus Besar KOPERAT, Sayed Abdul Rahman Engku Sulong.

Mengulas lanjut Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan sangat memahami akan kehendak rakyat untuk memiliki kediaman.

"Kerana itulah kita sasaran dalam pentadbiran ini untuk menyediakan sebanyak 20,000 unit RMM untuk rakyat namuan ia bukan proses yang datang sekelip mata, kerana banyak projek yang memasakan masa, tidak campur lagi dengan masalah tanah yang dihadapi, masalah pasaran buruh, jadi ia mengambil sedikit masa.

"Dalam mesyuarat laporan manifesto pada 19 Julai yang lalu data telah menunjukkan sebanyak 90.3 peratus daripada sasaran 20,000 RMM yang kita janjikan itu telah dicapai, dan ia sedang dalam pembinaan," ujarnya.