Tragedi Roboh Masjid Bujal Sukar Dilupakan

KEMAMAN, 21 Mac – Peristiwa perobohan Masjid Bujal pada 19 tahun lalu masih segar dalam ingatan penduduk, namun selepas bertahun-tahun menanti, sebuah surau baharu akhirnya dibina di tapak yang sama pada 2022 dan kini dikenali sebagai Surau Bujal.

Pengerusi Surau Bujal, Mohammad Zamri Muda, meluahkan rasa syukur atas pembinaan semula surau tersebut namun tidak dapat menafikan bahawa kenangan pahit perobohan masjid lama masih berbekas di hati.

“Dulu, kami bina masjid ini dengan titik peluh sendiri, tetapi ia dirobohkan di depan mata kami.

"Kini, walaupun ia telah dibangunkan semula sebagai surau, kami tetap mengimpikan untuk melihatnya kembali berstatus masjid seperti dahulu,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.

Malam tadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris hadir menunaikan solat tarawih bersama penduduk kampung.

Razali berkata bahawa Surau Bujal bukan sekadar tempat solat, tetapi juga berperanan sebagai pusat pengajian agama dan aktiviti kemasyarakatan.

“Kita ingin melihat surau ini terus dimakmurkan dengan aktiviti keagamaan seperti kuliah ilmu, majlis bacaan al-Quran, dan program kebajikan.

“Insya-Allah, kita akan bantu dari sudut kebajikan supaya surau ini terus berkembang sebagai pusat ibadah dan akan melihat keperluan menaik taraf kemudahan sedia ada agar penduduk dapat beribadah dengan lebih selesa,” katanya.

Untuk rekod, pada 26 Mei 2005, Masjid Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Bujal, Kijal itu telah dirobohkan dengan dibantu jentera jabatan kerajaan dan anggota polis.

Peristiwa tersebut mencetuskan kesedihan dan kekecewaan dalam kalangan penduduk setempat yang telah bertungkus-lumus membina masjid tersebut hasil sumbangan orang ramai.

 


Tag: