URA : Ahmad Amzad Tolak Dakwaan Perdana Menteri

KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menolak sekeras-kerasnya kenyataan Perdana Menteri yang menuduh penentang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) mempunyai agenda untuk memastikan orang Melayu terus miskin dan berpendidikan rendah.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan bertujuan mengalihkan perhatian daripada kelemahan ketara dalam cadangan akta tersebut.

“Kebimbangan terhadap URA bukan kerana menolak pembangunan tetapi kerana ia membuka ruang kepada pengambilan tanah secara paksa atas nama pembangunan yang akhirnya lebih menguntungkan pihak berkepentingan berbanding rakyat.

“Dengan syarat persetujuan 80 peratus bagi hartanah berusia 30 tahun dan 75 peratus bagi hartanah lebih 30 tahun. walaupun 20 peratus atau 25 peratus pemilik membantah, mereka tetap boleh kehilangan hak milik mereka.

“Keadaan ini jelas bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dan boleh membawa kepada pemindahan secara paksa pemilik asal khususnya golongan Bumiputera yang menghuni kawasan perumahan kos rendah dan setinggan di bandar.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media melalui hantaran Facebook rasminya, semalam.

Ahmad Amzad turut menegaskan bahawa URA berpotensi menyebabkan pemilik asal tidak mampu membeli atau menyewa unit baharu yang dibina di lokasi asal, memaksa mereka berpindah ke kawasan pinggir bandar atau luar bandar yang mempunyai peluang ekonomi lebih terhad.

“Sejak era Tun Abdul Razak, dasar pembangunan dirangka untuk mengukuhkan kedudukan Bumiputera dalam ekonomi bandar.

"Namun, URA boleh menggagalkan usaha ini dengan menyingkirkan mereka akibat pembangunan yang tidak mengambil kira kemampuan pemilik asal untuk terus tinggal di kawasan tersebut,” tambahnya.

Sehubungan itu, Ahmad Amzad menggesa kerajaan agar tidak menyalahkan rakyat yang menyuarakan kebimbangan terhadap URA sebaliknya mendengar pandangan mereka dan memperbetulkan dasar ini.

“Pembangunan bandar mesti dilakukan tanpa menjejaskan hak pemilikan rakyat serta tanpa mengorbankan keseimbangan sosioekonomi yang telah lama diperjuangkan,” tegasnya.