Ustazah Asma' Raih Anugerah Tokoh Sayyidatina Aishah

KUALA NERUS, 4 Oktober - Pendakwah selebriti, Ustazah Asma' Harun, 39, berasal dari Kampung Batu Enam, Kuala Nerus menerima anugerah Tokoh sempena Hari Sayyidatina Aishah 2022.

Katanya, anugerah itu menjadi inspirasi untuk beliau terus bekerja kerasa dalam medan dakwah.

"Perjalanan dalam medan dakwah ini tiada penghujungnya, selagi masih bernyawa maka kaki ini akan terus melangkah.

"Anugerah ini tidak sesekali dipinta dan ia bukanlah sebagai ukuran kejayaan bagi sesiapa, sama ada berjaya atau sebaliknya dan ini termasuk juga saya, kerana makna berjaya yang sebenar adalah kejayaan di sisi Allah iaitu mencapai redhaNya. 

"Masih banyak yang perlu dipelajari, demi menyampaikan walau satu ayat dalam dakwah," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media mengulas mengenai anugerah tersebut, pada kelmarin.

Menurutnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan negeri Terengganu di atas pemberian yang amat bermakna.

"Sungguh, amanah yang dipikul begitu berat kerana semua kurniaan Allah ini pasti disoal di akhirat kelak.

"Sebenarnya anugerah ini bukan semata-mata untuk saya tapi juga buat keluarga tercinta, sahabat-sahabat, dan semua yang tetap bersama dan menerima saya seadanya," ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap agar semua kaum wanita agar sentiasa mencontohi Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah R.A.

"Mudah-mudahan kita sama-sama menjadi wanita yang berilmu, dipenuhi dengan jiwa yang tenang dan terus kuat.

"Serta menjadi wanita dambaan syurga juga perlukan usaha dan mujahadah," tambah beliau.

Ustazah Asma' merupakan seorang ikon kepada golongan ibu, wanita, masyarakat bukan sahaja di negeri Terengganu malah di seluruh negeri. 

Lantunan suaranya yang lembut tetapi tegas serta diselangi gurau senda pastinya menghiburkan dan memberi kesan setiap insan.

Sementara itu, pemenang pingat emas Syahida Asyiqin,18, menerima anugerah Anugerah Tokoh Ikon Remaja Hari Sayyidatina Aishah 2022 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu,Gong Badak, Kuala Nerus pada Khamis lalu.

Beliau telah berjaya mengharumkan nama negeri Terengganu di persada sukan negara.

"Atlet Terengganu ini sahaja membolot empat emas, tiga perak dan enam gangsa dalam acara sukan Kanu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 baru-baru ini.

"Penampilan pertama di pentas SUKMA berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan masa 4.24.294 saat, mengatasi rekod 4.49.430 saat milik Nor Azita Ibrahim yang dilakukan pada SUKMA 2014," katanya.

Sementara itu, lima orang tokoh menerima anugerah yang telah dipilih sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada wanita Terengganu.

Dr. Azza Jauhar binti Ahmad Tajuddin menerima anugerah Tokoh Ilmuan, Raihani binti Ibrahim, anugerah Tokoh Bakti dan Nor Yusnita binti Mohamad, anugerah tokoh OKU.

 


Tag: