Waran Tangkap, Ini Penjelasan Exco...

KUALA TERENGGANU, 16 Mac- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah menjelaskan, beliau telah disepina untuk menjadi saksi calon Barisan Nasional (BN) dalam petisyen pilihan raya Marang yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu sehingga 21 Mac ini.

Namun, peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman lewat memberi makluman kepadanya untuk ke mahkamah menjadi antara sebab beliau tidak dapat hadir ke perbicaraan, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu itu ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) untuk mengulas waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya, di sini hari ini berkata, beliau memberikan kerjasama namun terpaksa memenuhi komitmen program kerajaan negeri dan tidak dapat membatalkan program yang perlu dihadirinya pada pagi ini.

"Peguam BN (Barisan Nasional) suruh pergi mahkamah pagi, saya katakan (beliau) lewat sangat beritahu sedangkan saya ada banyak program sebelah pagi, sebelah petang boleh.

"Mungkin dia takut saya lari, jadi keluar waran tangkap jika tidak hadir pada perbicaraan 19 Mac ini.

"Untuk rekod saya telah hadir pada petang Selasa yang lalu, insya-Allah, saya dah berjanji dengan peguam BN untuk hadir pada Ahad ini, 19 Mac pukul 10 pagi," katanya.

Mohd Nor didapati mengiringi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke Majlis Pelancaran Ihya' Ramadan Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman sekitar jam sembilan pagi dan kemudian merasmikan Penutup Program Jelajah Ilmuwan bersama Murabbi Tuan Guru Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari di Taman Tamadun Islam, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor kerana gagal hadir memberi keterangan perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Perbicaraan bagi petisyen pilihan raya Marang akan disambung pada 19 Mac ini melibatkan tiga Parlimen iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman yang telah difailkan Badan Perhubungan UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu, di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

 


Tag: