KUALA LUMPUR, 29 Januari - Terengganu Marvels bakal diperkuatkan lagi dengan kehadiran dua tonggak import dari Fiji bagi menghadapi saingan Netball Super League (NSL) 2024 pada awal Februari.
Penolong jurulatih pasukan, Nur Asmidar A Halim berkata, dua pemain iaitu Reama Magdalene Verekauta yang bermain di posisi serangan dan Matila Georgina Vocea (pertahanan) melengkapkan 'missing puzzle' dalam pasukannya.
"Sebenarnya kita lihat dari segi apa yang pasukan kita perlukan, dari segi agility nya, ketinggian dan corak permainan lebih agresif.
"Kita mencari kelebihan dari segi serangan serta pertahanan, dan melihat dua orang pemain dari Fiji ini memenuhi keperluan Terengganu Marvels," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Memperkenalkan Pemain dan Penaja pasukan Terengganu Marvels di sini, semalam.
Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu (NGO), Hishamuddin Abdul Karim.
Asmidar menambah, saingan NSL kali ini bakal menyaksikan saingan sengit antara lapan pasukan bertanding.
"Setiap pasukan pasti akan berikan yang terbaik dan untuk Terengganu sendiri, kita jangkakan kita akan merebut kedudukan ketiga atau keempat terbaik.
"Persaingan agak sengit, dari segi prestasi pasukan tiga teratas yang bersaing kebanyakan ada lebih dari lima pemain kebangsaan," katanya.
Namun, cabaran pasukan pantai timur itu tidak boleh dipandang enteng apabila turut dibantu pengalaman bekas pemain kebangsaan iaitu Izyan Syazana Mohd Wazir dan tiga pemain muda kebangsaan (Fatin Najiha Rahmad, Nur Izzazrin Aizie Ahmad Yani dan I'dha Syamimi Muhammad Yusree).
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Jaring Negeri Terengganu (TNA), Zuraida Md Noor menyifatkan, meskipun dibarisi majoriti muka baharu, Terengganu Marvels bakal memberikan tentangan sengit kepada pasukan lain.
"Saingan agak sengit tetapi saya cukup positif dan optimis dengan pasukan Terengganu Marvel's, walaupun pemain muda tetapi mereka ada satu semangat luar biasa.
"Saya setuju kita mungkin turun sebagai pasukan 'underdog' tetapi dalam sukan, apa-apa pun boleh terjadi. Atas kesungguhan itu, saya rasa mungkin kita (berjaya capai) tiga terbaik," katanya.
Terengganu Marvels akan memulakan aksi pertama NSL 2025 dengan menentang Negeri Sembilan Venom di Stadium Juara, Bukit Kiara pada 1 Februari.