Wartakan Bukit Harimau Menangis Sebagai Hutan Simpan Kekal Negeri
Oleh: Khalid Abdullah
KEMAMAN, 28 Ogos - Kawasan pendakian bukit popular, Bukit Harimau Menangis perlu diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal Negeri bagi memastikan keindahannya kekal terpelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, atas keprihatinan untuk melindungi sumber hutan dan keperluan beriadah masyarakat setempat, idea tersebut akan dibawa kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan.
“Kelestarian alam semula jadi di Bukit Harimau Menangis penting untuk kesejahteraan rakyat sejagat serta untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
“Hutan Simpan Kekal Negeri tidak boleh diterokai atau ditebang kerana dilindungi undang-undang, namun boleh dijadikan kawasan hutan terbuka bagi memberi kemudahan orang ramai menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi.
“Hutan Simpan Kekal Negeri juga dapat dijadikan aset penting dalam menggalakkan sektor pelancongan iaitu dengan cara menarik minat pelancong asing atau tempatan untuk melihat ribuan spesis flora dan fauna,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas bersama lebih 1,000 orang masyarakat tempatan menyertai acara pendakian bukit ‘Terengganu Merdeka Hike 2019’ di Bukit Harimau Menangis, Kemasik, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Mohd Rahim Rani yang turut serta menyertai pendakian bersetuju dengan cadangan berkenaan.
“Saranan beliau sangat bernas, apabila sebahagian kawasan di sini yang berstatus tanah kerajaan diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal, pihak jabatan ada peruntukan kewangan untuk bangunkan kawasan rekreasi ini.
“Sebelum ini Jabatan Perhutanan Terengganu telah bangunkan Taman Eco-Rimba Air Menderu di Kampung Cabang, Kertih untuk masyarakat Kemasik menikmati keindahan air terjun di hutan lipur serta panorama hutan,” jelas beliau lagi.