• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

14 Video TikTok Dr Sam Dipadam Tiada Unsur Sensitif

KUALA TERENGGANU, 20 Julai - Pemadaman 14 video TikTok milik Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dikritik sebagai tindakan yang tidak berasas dan mencabuli prinsip kebebasan bersuara.

Setiausaha Akhbarnya, Mohd Nasir Abd Razab, berkata video yang dimuat naik itu tidak mengandungi sebarang elemen 3R (agama, bangsa, dan institusi raja) yang boleh dianggap sensitif atau mengganggu keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Beliau turut menyatakan rasa kesal terhadap tindakan platform yang dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu.

Menurut beliau, kandungan video berkenaan bertujuan untuk menyampaikan mesej pembangunan dan perpaduan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Negeri Terengganu demi kesejahteraan rakyat.

“Sebagai platform media sosial yang mempunyai tanggungjawab sosial, adalah penting bagi TikTok untuk memastikan bahawa kandungan yang mematuhi garis panduan serta tidak melanggar sebarang peraturan diberikan peluang untuk terus dikongsi dengan masyarakat.

“Pemadaman video-video ini bukan sahaja tidak berasas tetapi juga mencerminkan tindakan yang mengabaikan prinsip kebebasan bersuara yang diiktiraf,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Nasir berkata antara video yang dibuang dari TikTok Menteri Besar Terengganu baru-baru ini ialah ucapan kepada pemain bola sepak Terengganu yang mendapat 1.3 juta penonton, video ‘Aunty Amy Chua’ daripada Ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang meraih 5.9 juta tontonan.

Selain itu, perbahasan Ahmad Samsuri di parlimen yang meraih 700,000 tontonan, acara perasmian Pecah Tanah Hotel di Strawberry Park dengan 900,000 tontonan, dan kunjungan hormat Duta Qatar yang mendapat 300,000 tontonan juga dipadam.

Menurut beliau, video yang dipadam mencerminkan usaha gigih Menteri Besar dalam membangunkan negeri dan memperkukuhkan ikatan dalam masyarakat.

“Saya menggesa pihak TikTok untuk meneliti semula keputusan pemadaman tersebut dan memastikan bahawa kandungan yang mematuhi garis panduan serta tidak melanggar sebarang peraturan diberikan peluang untuk terus dikongsi dengan masyarakat,” katanya.

Beliau menegaskan kepentingan platform media sosial untuk berperanan secara adil dan saksama, serta menghormati kebebasan bersuara yang diiktiraf.

“Saya berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan berharap perkara sebegini tidak akan berulang lagi. Kerjasama daripada semua pihak berautoriti amatlah dihargai,” ujarnya.

Untuk rekod, pemadaman video pertama iaitu Video Aunty Amy Chua mula disedari pada 20 Januari 2024.

Selepas itu, satu demi satu video mula dipadamkan tanpa sebarang amaran dan notis hingga yang terkini video yang dimuat naik pada 12 Julai di Twitter (X) mengenai Perasmian Taman Solar Terbesar di Malaysia juga dipadamkan tanpa sebarang notis.

 


Tag: