Australia Larang Aktif Galaxy Note 7 Dalam Pesawat
Dua buah syarikat penerbangan Australia, Qantas dan Virgin Australia, melarang para penumpangnya untuk mengaktifkan dan mengecas Samsung Galaxy Note 7 semasa penerbangan dalam pesawat mereka.
Agensi berita Agence France-Presse (AFP) melaporkan, larangan keras tersebut terpaksa dikuatkuasakan kerana beberapa siri kes yang membabitkan bateri telefon bimbit pintar model itu terbakar atau meletup semasa sedang dicas oleh penumpang.
Samsung yang merupakan pengeluar telefon pintar terbesar antarabangsa dalam kenyataannya pada minggu lalu menyatakan bahawa kesemua produk Galaxy Note 7 yang sedang dipasarkan di seluruh dunia telah ditarik balik.
Menurut sebuah laman berita luar negara, difahamkan syarikat telekomunikasi gergasi terkenal dari Korea Selatan itu telah menarik sebanyak 2.5 juta unit model tersebut yang berada dalam pasaran seluruh dunia.
“Berikutan penarikan peranti elektronik peribadi Samsung Galaxy Note 7, kami meminta para penumpang agar mematikan atau tidak mengecas telefon itu semasa penerbangan,” kata jurucakap Qantas menerusi kenyataan.
Larangan penggunaan Samsung Galaxy Note 7 semasa dalam penerbangan dikuatkuasakan untuk semua destinasi, sama ada penerbangan laluan domestik mahupun antarabangsa.
Selain Qantas, pesaing syarikat itu, Virgin Australia juga mengeluarkan amaran yang sama melalui satu kenyataan mereka dan perkara itu diumumkan kepada penumpangnya sebelum penerbangan bermula.